BEREGU lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sudah menetapkan sasaran tersendiri musim ini apabila menjadikan Kejohanan Badminton Dunia, Sukan Asia dan Jelajah Dunia Akhir sebagai keutamaan.
Aaron berkata, memandangkan umurnya dan Wooi Yik semakin meningkat, mereka terpaksa menjadikan kejohanan-kejohanan besar sebagai keutamaan dan terpaksa ‘melepaskan’ kejohanan bertaraf lebih rendah.
Bagaimanapun, pemain berusia 29 tahun itu menegaskan, mereka tetap memandang serius setiap kejohanan disertai biarpun bakal memberikan keutamaan terhadap kejohanan-kejohanan besar tahun ini.
“Sekarang sudah hampir Jun dan tahun kelayakan Sukan Olimpik akan bermula. Berdasarkan usia kami ketika ini, memang kami akan memberikan lebih banyak tumpuan terhadap kejohanan-kejohanan utama.
“Memang benar gelaran kami tidak banyak, tetapi kami lebih fokus kepada kejohanan-kejohanan besar. Walau apa yang berlaku, kami tetap akan memberikan segala-galanya dan tidak main-main,” katanya.
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik pernah melakar sejarah sukan badminton negara apabila muncul sebagai juara dunia Malaysia yang pertama selepas memenangi edisi 2022 di Tokyo, Jepun menewaskan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.
Sementara itu, pasangan No.2 dunia berkenaan terus menggalas cabaran negara pada kejohanan Malaysia Masters di Unifi Arena, Bukit Jalil apabila melangkah ke pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung hari ini.














