fbpx
Gambar hiasan

Anggota Rela bunuh bekas Ketua MCA Marang kekal dijel 30 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Seorang bekas anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang menembak mati rakan baiknya dalam kejadian di sebuah tokong di Wakaf Tapai, Marang, Terengganu lima tahun lalu, kekal dipenjara 30 tahun oleh Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.

Keputusan sebulat suara dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Rhodzariah Bujang selepas menolak rayuan Ong Chow Lee, 62, yang disabitkan membunuh bekas Ketua Bahagian MCA Marang Fong Swee Fuan (ketika kejadian 65 tahun) selain mendapati rayuan perayu tidak mempunyai sebarang merit.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim Datuk Lee Swee Seng dan Datuk P.Ravinthran.

Terdahulu, peguam bela Ahmad Ridzuan Awang, berhujah bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang menerima pengakuan bersalah Chow Lee telah terkhilaf apabila gagal menjelaskan sifat dan akibat pengakuan bersalah tertuduh.

Beliau berkata, nota prosiding merekodkan bahawa Mahkamah Tinggi secara teliti menawarkan jurubahasa Cina kepada tertuduh, namun dia memilih untuk mendengar dua pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi cubaan membunuh dalam Bahasa Malaysia.

Ahmad Ridzuan berkata, mahkamah itu tersalah arah apabila gagal memberi penjelasan mengikut Seksyen 178(1) dan (2) Kanun Tatacara Jenayah yang memperuntukkan pertuduhan mesti dijelaskan sepenuhnya kepada tertuduh dan pengakuan bersalah hanya boleh direkodkan sekiranya tertuduh memahami sifat serta akibat pengakuan tersebut.

“Kami menghujahkan bahawa mungkin tidak selamat untuk Mahkamah Tinggi menerima pengakuan bersalah itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang berhujah bahawa pengakuan bersalah oleh Choe Lee jelas mematuhi prosedur.

“Responden dengan rendah diri menghujahkan bahawa berdasarkan nota prosiding, tiada paksaan atau salah arah yang boleh mewajarkan campur tangan mahkamah ini.

“Tertuduh diwakili peguam pada masa material dan beliau memilih untuk mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu serta pengakuan bersalah tersebut diterima mengikut undang-undang,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Chow Lee didakwa melakukan kesalahan itu di belakang sebuah tokong Cina di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang di antara pukul 1.20 tengah hari hingga pukul 1.55 tengah hari pada 23 Julai 2021.

Chow Lee mengaku salah atas kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Julai 2024 dan dijatuhi hukuman penjara masing-masing 30 tahun dan 13 tahun, yang berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu pada 23 Julai 2021. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN