fbpx
NUR ALIA (belakang kiri) menjaga empat adiknya dalam keadaan serba kekurangan selepas kematian ibu bapa mereka dalam tempoh kurang setahun di Kampung Chengal Batu, Pasir Puteh. – TOREK SULONG

Ikat perut makan nasi berlauk telur rebus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Lima beradik di Kampung Chengal Batu di sini mengharungi kehidupan serba daif apabila menjadi yatim piatu dalam tempoh kurang setahun selepas kedua-dua ibu bapa meninggal dunia akibat penyakit kronik.

Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa mengikat perut dengan hanya makan nasi berlauk telur rebus sekali sehari selain bergantung kepada ihsan jiran apabila kehabisan bekalan makanan.

Anak sulung, Nur Alia Natasha Mohd. Fauzi, 18, kini memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan menjaga empat adiknya iaitu Nur Aleeya Balqis, 17, Muhammad Faris, 13, Muhamad Amin, 10, dan Nur Eryna Imani, 5.

Menurut Nur Alia, ibunya, Siti Roziana Muda, 39, meninggal dunia 1 Oktober tahun lalu akibat komplikasi paru-paru dan ken­cing manis diikuti bapanya, Mohd. Fauzi Mat Zain, 51, akibat serangan jantung 23 April lalu.

Katanya, sejak kehilangan bapa, mereka hilang tempat bergantung dan kini hidup dengan perbelanjaan yang amat terhad.

“Sebelum ini, saya memperoleh elaun RM500 sebulan hasil mengikuti kursus kemahiran sambil bekerja di sebuah pusat homeopati dan akupunktur.

“Wang itu digunakan untuk perbelanjaan makan, persekolahan dan keperluan adik-adik. Malangnya, pusat berkenaan ditutup baru-baru ini,” katanya di sini baru-baru ini.

Ujarnya, hasil sedekah orang ramai atas kematian ibu bapanya disimpan sebagai wang kecemasan untuk perbelanjaan lebih utama bagi memastikan mereka tidak putus makanan.

Menurutnya, bil elektrik rumah mereka turut tertunggak hampir RM500 selain pernah berdepan pemotongan bekalan air tahun lalu akibat tunggakan mencecah RM1,000.

Katanya, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah datang membuat lawatan dan borang permohonan bantuan juga sudah diisi baru-baru ini.

Tambahnya, bagaimanapun, dia masih menunggu kelulusan pihak JKM untuk bantuan tersebut yang akan digunakan bagi meringankan perbelanjaan harian dan penyediaan wang saku sekolah adik-adiknya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Nur Alia di talian 018-915 3987 atau terus ke akaun Bank Simpanan Nasional miliknya, 0399541100659624.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN