IPOH – Seorang kerani bahagian pentadbiran di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Ipoh didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah menerima suapan berjumlah RM500 bagi urusan pembekalan dan pemasangan karpet, tahun lalu.
Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh, Mohamad Al Amzar Dualali, 32, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah bersetuju menerima RM500 daripada seorang lelaki berusia 29 tahun di KPTM Ipoh dalam daerah Kinta pada Februari 2025.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan tertuduh telah membayar denda berkenaan. – KOSMO! ONLINE














