PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak terus menguasai platform Facebook apabila merekodkan jumlah pengikut tertinggi dalam kalangan tokoh politik negara menerusi analisis media sosial dikeluarkan Ilham Centre.
Berdasarkan analisis itu, Najib mencatat keseluruhan 9.35 juta pengikut merentasi enam platform media sosial utama dengan kekuatan paling ketara di Facebook yang merekodkan 4.6 juta pengikut selain 3.2 juta di platform X.
“Keadaan itu menunjukkan beliau masih mempunyai pengaruh besar terhadap audiens matang dan pengguna politik aktif walaupun berdepan pelbagai cabaran politik serta undang-undang,” menurut analisis tersebut.
Dalam masa sama, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 8.11 juta pengikut diikuti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merekodkan 7.90 juta pengikut.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pula dilihat berjaya menawan hati generasi muda menerusi pengaruh besar di platform Instagram, TikTok dan Threads.
Syed Saddiq merekodkan angka tertinggi dalam kalangan tokoh muda apabila memiliki 2.2 juta pengikut di Instagram, 2.3 juta di TikTok dan 643,000 di Threads.
“Prestasi ini menggambarkan strategi digital yang lebih moden, visual dan bersifat ‘engagement-driven’.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar turut disenaraikan antara tokoh muda yang mempunyai pengaruh besar di platform media sosial baharu khususnya Instagram, TikTok dan Threads.
Nurul Izzah memiliki kira-kira 959,300 pengikut di Facebook, lebih 840,000 pengikut di Instagram serta sekitar 1.236 juta pengikut di platform X, sekali gus memperlihatkan pengaruh kuat beliau dalam kalangan pengguna media sosial muda.
Menurut Ilham Centre, platform seperti TikTok, Instagram dan Threads kini menjadi medan persaingan baharu dalam politik digital negara apabila tokoh muda lebih cenderung menggunakan pendekatan santai serta kandungan video pendek untuk menarik perhatian pengundi Gen-Z dan Gen Alpha.- KOSMO! ONLINE














