fbpx
Ahmad (lima dari kiri) melakukan) lawatan kerja ke bangunan Stor Farmasi Logistik Dan Farmasi Steril di Hospital Taiping hari ini.

KKR pantau 2,497 projek infra rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAIPING – Kerajaan terus memperketat pemantauan pelaksanaan projek pembangunan negara dengan sasaran utama mencapai sifar projek sakit selain memastikan projek disiapkan lebih awal daripada jadual dan tahap keselamatan di tapak pembinaan dipertingkatkan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pemantauan rapi dan berterusan itu dilaksanakan bagi memastikan semua projek infra rakyat di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) berjalan lancar selaras dengan hala tuju Kementerian Kerja Raya (KKR).

“Bagi 2026 sehingga 28 April lalu, sebanyak 2,497 projek fizikal pembinaan dengan kos keseluruhan RM133.897 bilion telah diamanahkan kepada JKR sebagai agensi teknikal utama negara.

“Daripada jumlah itu, 1,181 projek atau 47 peratus berada pada peringkat pra-pembinaan, manakala 851 projek atau 34 peratus sedang dalam fasa pembinaan, selebihnya melibatkan kerja awalan serta projek siap termasuk dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP),” katanya

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di Bangunan Stor Farmasi Logistik dan Farmasi Steril di Hospital Taiping di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 4,405 kerja penyenggaraan, pemulihan, ubah suai dan naik taraf (PPUN) bernilai RM6.123 bilion turut sedang dilaksanakan di seluruh negara.

Ahmad berkata, setakat ini JKR telah berjaya menyiapkan 60 projek fizikal dengan nilai RM2.436 bilion melibatkan projek di bawah Rancangan Malaysia ke-9 hingga ke-12.

Mengulas projek dalam fasa pembinaan, beliau memaklumkan sebanyak 828 projek di bawah seliaan JKR Malaysia dan 23 projek sekolah daif di Sabah dan Sarawak sedang dipantau rapi oleh agensi teknikal berkenaan.

Daripada jumlah itu, 454 projek atau 53.35 peratus dilaporkan berjalan lancar, dengan 241 projek (28.32 peratus) berada di hadapan jadual (ahead of time) dan 213 projek (25.03 peratus) mengikut jadual.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan masih terdapat cabaran yang menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek, khususnya melibatkan kontraktor yang menyumbang sebanyak 84 peratus faktor kelewatan, termasuk masalah pengurusan, aliran kewangan serta kekurangan tenaga kerja dan bahan binaan.

“Sebanyak 16 peratus lagi berpunca daripada isu pengambilan tanah, pampasan, kelulusan, pengalihan utiliti serta faktor cuaca dan bencana,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, trend projek sakit menunjukkan penurunan daripada 6.81 peratus pada Jun 2025 kepada 5.17 peratus setakat ini hasil pemantauan berterusan serta intervensi awal oleh JKR dan KKR.

“Beberapa langkah strategik telah dan akan terus dilaksanakan termasuk penggunaan teknologi Building Information Modelling (BIM), sistem modular dan kaedah pratuang (pre-cast) dalam projek kerajaan.

“Mekanisme amaran awal turut diperkenalkan bagi mengesan lebih awal projek bermasalah sebelum ia bertukar menjadi projek sakit, selain tindakan menyenarai hitam kontraktor bermasalah daripada pelantikan semula,” katanya.

“KKR melalui JKR komited untuk memperbaiki perancangan, pelaksanaan dan pemantauan secara berterusan demi memastikan projek infra rakyat disiapkan dengan lebih cepat, selamat dan berkesan,” katanya.

Tegasnya, kejayaan pelaksanaan projek kerajaan memerlukan kerjasama erat antara semua pihak termasuk pegawai penguasa projek, perunding, kontraktor serta agensi berkaitan bagi memastikan penyampaian infra rakyat lebih cekap dan teratur selaras dengan aspirasi Malaysia Madani. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN