MERSING – Usaha membawa pulang tiga ekor gajah Asia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dari Tennoji Zoo Osaka (ZTO), Jepun tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana melibatkan pelbagai aspek teknikal serta perjanjian yang perlu dipatuhi.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kerajaan amat menitikberatkan aspek keselamatan dan kebajikan haiwan berkenaan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Saya sedar bahawa yang berhormat menteri kami Datuk Seri Arthur Joseph Kurup pun telah sebutkan supaya ada usaha-usaha untuk bawa balik gajah-gajah tersebut.
“Tetapi dia ada proses-proses dia, bukan maknanya hari ini cakap kata bawa balik besok boleh bawa balik, silap langkah mati pula gajah itu sudah jadi isu lain.
“Jadi mesti ada proses-proses dia yang berkenaan. Selain daripada kita juga ada perjanjian Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) dan ZTO, perkara itu perlu diambil kira dan diteliti dengan cermat supaya tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Perasmian Eksplorasi Biodiversiti Di Rangkaian Ekologi Central Forest Spine Hutan Simpan Lenggor Dan Hutan Simpan Mersing di Politeknik Mersing di sini hari ini.
Syed Ibrahim berkata, kerajaan menyerahkan kepada ZTNS dan Majlis Perbandaran Taiping untuk menguruskan isu terbabit termasuklah tindakan susulan yang perlu diambil.
Katanya, setakat ini pihak kementerian dimaklumkan bahawa urusan berkaitan haiwan berkenaan sedang dikendalikan oleh kedua-dua pihak tersebut. – KOSMO! ONLINE












