KUALA LUMPUR – Mangsa gangguan seksual terutamanya kaum wanita diminta supaya lebih berani tampil membuat laporan dan tidak terus hidup dalam ketakutan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kebanyakan mangsa enggan tampil kerana takut, malu atau bimbang tiada tempat bergantung.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan ada mangsa memilih untuk berdiam diri walaupun berdepan ancaman dan keganasan.
“Kita sentiasa mengatakan wanita yang menjadi mangsa ini perlu berani. Kebanyakannya ada ketakutan dan tidak berani kerana rasa tiada lagi tempat bergantung.
“Ada juga yang mempunyai masalah atau kisah silam yang mungkin menghalang mereka untuk meneruskan tindakan undang-undang,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan: Say No To Sexual Harassment di sini, hari ini.
Beliau berkata, kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa bekerjasama dengan pihak polis dalam mengendalikan kes keganasan dan gangguan seksual.
Katanya, pegawai pelindung akan dihantar bagi membantu menyediakan laporan sokongan kepada pihak berkuasa selain menawarkan khidmat kaunseling kepada mangsa.
“Kita tidak boleh hanya bercakap mengenai advokasi, tetapi tindakan juga perlu dilakukan.
“Kalau melibatkan kes jenayah, penguatkuasaan adalah di bawah pihak polis, manakala kementerian akan membantu dari segi pelaporan dan kaunseling,” katanya.
Tambahnya, setiap individu mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan dan bantuan sekiranya menjadi mangsa keganasan atau gangguan seksual. – KOSMO! ONLINE














