SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan teguran keras secara terbuka kepada wakil rakyat negeri ini agar lebih menghayati dan memahami prinsip Rukun Negara yang menjadi asas perpaduan nasional.
Sultan Sharafuddin bertitah, ini khususnya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew supaya lebih kerap mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di hadapan Tiang Bendera Negeri Selangor.
Baginda menegaskan, ini supaya menjadi rakyat yang hormat kepada kedaulatan institusi raja dan menjaga adab kesopanan serta kesusilaan.
“Beta menyeru kepada semua wakil rakyat negeri ini untuk datang sendiri ke Dataran Selangor ini setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen ini.
“Khusus ditujukan kepada Siew Ki dan Ronnie Liu, Beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dah hayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah di sini, hari ini.
Sebelum ini, Siew Ki mencetuskan kontroversi ketika membahaskan titah Sultan Selangor pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila memohon kerajaan negeri mempertimbangkan sistem penternakan babi moden dan tertutup di Selangor.
Cadangan itu mengambil kira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
Ronnie Liu pula menyarankan supaya memfailkan semakan kehakiman susulan larangan Sultan Selangor terhadap aktiviti penternakan babi di negeri berkenaan.
Sultan Sharafuddin bertitah, kos bagi pembinaan plak dan tempat duduk untuk pengunjung yang telah dipasang Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dibiayai sepenuhnya baginda.
Baginda bertitah, melalui terbina plak tersebut mengimbau kembali sejarah lahirnya konsep Rukun Negara.
“Segalanya bermula ketika darurat diisytiharkan akibat tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
“Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan sebagai Badan Pemerintah pada ketika itu, telah berunding bersarna anggota-anggotanya untuk melahirkan konsep Rukun Negara sebagai manifestasi ideologi kebangsaan bagi tujuan pengukuhan perpaduan antara kaum di negara ini,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut berharap orang ramai yang berkunjung ke Dataran Selangor khususnya generasi baharu, dapat membaca dan menghayati prinsip-prinsip asas Rukun Negara ini yang menjadi teras utama kepada perpaduan rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE














