fbpx
Gambar hiasan

Warga emas rugi lebih setengah juta terperdaya ‘pelaburan saham’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEMERLOH – Seorang pengurus sebuah syarikat penilaian hartanah mengalami kerugian sebanyak RM505,576.88 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula 28 Mac lalu selepas mangsa yang merupakan wanita berumur 67 tahun tertarik dengan satu iklan pelaburan saham melalui Facebook.

“Mangsa kemudiannya berhubung dengan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang mendakwa bekerja di sebuah syarikat dan mangsa bersetuju menyertai pelaburan tersebut seterusnya memberikan maklumat peribadi kepada suspek.

“Bermula 28 Mac 2026 hingga 28 April 2026, mangsa telah membuat sebanyak 61 transaksi pembayaran secara dalam talian, mesin deposit tunai (CDM) dan kaunter bank di Temerloh ke beberapa akaun bank individu yang diberikan oleh suspek,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pada 29 April lalu, mangsa dimaklumkan oleh seorang wanita yang menyamar sebagai pengurus bahawa mangsa perlu membuat bayaran tambahan sebanyak RM80,000 sebagai caj perkhidmatan untuk mengeluarkan keuntungan pelaburan yang dikatakan berjumlah RM658,646.88,” katanya di sini hari ini

Katanya, mangsa memohon agar caj tersebut ditolak daripada keuntungan pelaburan, namun permintaan itu ditolak dan mangsa diminta membuat bayaran penuh terlebih dahulu.

Jelasnya pada 5 Mei lalu, suspek memaklumkan melalui notis rasmi bahawa sistem sedang diselenggara dan beberapa urusan tidak dapat dijalankan sementara waktu.

Katanya, selepas itu, mangsa gagal menghubungi suspek, kumpulan tersebut serta individu berkenaan sehingga kini.

“Mangsa menyedari ditipu selepas gagal mendapatkan semula wang pelaburan sebelum tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

“Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM505,576.88 yang melibatkan wang simpanan mangsa dan pinjaman daripada ahli keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat melalui media sosial.

Jelasnya, orang ramai disaran membuat semakan dengan pihak berkuasa berkaitan seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum menyertai sebarang pelaburan.

“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon melalui platform Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

“Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN