PETALING JAYA – Sebuah delegasi daripada pengurusan tertinggi Pelancongan Taiwan telah berkunjung ke Malaysia selama lapan hari bermula 13 Mei lalu bertujuan untuk meningkatkan aktiviti promosi sektor pelancongan bagi dua buah negara.
Delegasi tersebut disertai oleh wakil kerajaan, syarikat penerbangan, agensi pelancongan, hotel dan pengusaha taman tema yang melibatkan sehingga 29 organisasi serta 64 wakil.
Pelbagai aktiviti telah disusun sepanjang lapan hari peserta delegasi tersebut menyertai misi penganjuran ke Pulau Pinang dan di Kuala Lumpur serta penganjuran Pameran Pelancongan Taiwan serta Sesi Taklimat Produk Pelancongan B2B (Sesi Promosi), yang bertujuan untuk meluaskan penguasaan pasaran Taiwan dalam kalangan pelancong Malaysia secara agresif melalui roadshow strategik ini.
Menurut kenyataan, sepanjang tempoh berkenaan, aktiviti promosi di Pulau Pinang telah dimulakan sejak 15 hingga 17 Mei ini di pusat beli-belah Queensbay Mall yang telah maskot gergasi angin Oh Bear dan instalasi gambar Belon Udara Panas Taitung.
Lokasi Instagrammable yang menarik perhatian itu telah berjaya menarik kehadiran orang ramai, dengan ramai penduduk tempatan singgah untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pakej pelancongan ke Taiwan.
Selain itu, turut diadakan persembahan daripada kumpulan muzik pelbagai genre Liu-Sheng-Ji dan kumpulan Flying Space, yang memukau penonton dengan gabungan tarian jalanan (street dance) dan aksi akrobatik yang mempamerkan kepelbagaian budaya Taiwan yang dinamik.

Pameran Pelancongan Taiwan di Pulau Pinang telah mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung. Suasana di sana cukup meriah dengan pertanyaan yang tidak putus-putus, sekaligus berjaya memacu jumlah tempahan terus di lokasi yang sangat tinggi.
Seterusnya, delegasi berkenaan berkunjung ke sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur untuk menyertai penganjuran dua sesi taklimat produk pelancongan B2B Taiwan yang khusus iaitu untuk pasaran muslim dan satu lagi adalah untuk pasaran cina.
“Memandangkan populasi Muslim merangkumi hampir 70 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, Pentadbiran Pelancongan kini menggandakan usaha mereka untuk menembusi segmen ini.
“Delegasi tersebut mengetengahkan pencapaian signifikan Taiwan dalam membina persekitaran pelancongan mesra Muslim, terutamanya kejayaan menduduki tangga ke-4 dalam kalangan destinasi bukan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) Mastercard-CrescentRating 2025,” jelasnya.

Selain itu, pihak pengurusan delegasi memaklumkan bahawa pihaknya turut memberi tumpuan kepada segmen premium dan pelancong berulang.
“Dengan kelebihan kemasukan tanpa visa, tempoh penerbangan jarak pendek, serta persekitaran pelancongan yang selamat dan selesa, Malaysia sentiasa kekal sebagai pasaran sumber yang amat penting bagi Taiwan,” jelasnya.
Sementara itu, Sesi Taklimat Pelancongan B2B Taiwan di Kuala Lumpur telah menghimpunkan lebih 100 penggiat industri tempatan untuk menjalin rangkaian kerjasama dengan delegasi Taiwan.
Acara tersebut telah memudah cara sebanyak 5,000 sesi padanan perniagaan, yang secara signifikan memperkukuh rantaian bekalan pelancongan antara Taiwan dan Malaysia.
Penglibatan yang berjaya ini telah meletakkan asas yang kukuh buat ejen-ejen tempatan untuk mengatur dan menghantar lebih banyak kumpulan pelancong ke Taiwan dalam bulan-bulan akan datang.-KOSMO! ONLINE














