PETALING JAYA – Tindakan pantas pengurusan Masjid Al Azim, Pandan Indah menyelamatkan seorang ibu bersama dua anak kecilnya yang dihalau dari rumah sewa mendapat pujian meluas dan wajar dicontohi institusi masjid lain.
Kejadian tersebut dikongsi menerusi satu hantaran di laman Facebook Abbe Hae, yang menceritakan detik cemas tiga beranak itu berjalan tanpa hala tuju sambil membawa beg pakaian.
Menurut hantaran tersebut, wanita berkenaan terpaksa menanggung beban tersebut selepas dihalau dari rumah sewa akibat tidak mampu membayar tunggakan sewa, susulan suaminya didakwa kembali terjebak dengan masalah penagihan dadah.
“Kesian dengan tiga beranak ini. Salah seorang kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memberikan ibu ini RM100 untuk dibuat perbelanjaan dan menasihati ibu ini ke Masjid Al Pandan Indah (Masjid Al Azim).
“Setibanya di masjid, ibu ini telah dibantu oleh pihak masjid dan menempatkannya sementara di sebuah bilik kebajikan yang disediakan sementara menunggu pihak masjid menguruskan bantuan yang selebihnya,” katanya.
Jelasnya lagi, tiga beranak itu kini telah ditempatkan di sebuah rumah sementara bagi memastikan keselamatan dan kebajikan anak-anak kecil berkenaan terus terpelihara selain menguruskan bantuan zakat buat mereka.
“Jutaan terima kasih buat pihak pengurusan Masjid Al Azim Pandan Indah atas kecaknaan terhadap mereka yang memerlukan seperti ini.
Inilah satu contoh masjid yang perlu masjid masjid lain contohi,” ujarnya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna kagum dengan fungsi institusi masjid yang cakna dan mesra kariah ketika masyarakat berada dalam kesusahan.
“Alhamdulillah, masjid dan masyarakat harus akrab dan mesra. Peranan masjid besar, bukan setakat solat berjemaah sahaja, malah melindungi kariah dalam masalah itu wajib,” puji Nazri Muhammad.
Seorang lagi pengguna, Zabedah Katum, turut melahirkan rasa simpati dan berharap kisah ini menjadi pengajaran kepada golongan ketua keluarga.
“Isteri-isteri yang mana suami penagih dadah, renung-renungkanlah perjalanan jauh penghidupan anda. Kesian dekat anak-anak kecil lagi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














