fbpx
Dr. Jihan ketika merakamkan foto bersama aktivis GSF yang lain.

‘Sampai ke tidak ke Gaza itu bukan ditentukan oleh sesiapa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Sampai ke tidak ke Gaza itu bukan yang akan ditentukan oleh Israel atau sesiapa. Itu sudah aturan Allah,”

Demikian luahan delegasi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF 2.0), Dr. Jihan Alya Mohd. Nordin menjelang fasa akhir perjalanan misi berkenaan yang kini semakin menghampiri bumi Gaza.

Dr. Jihan Alya merupakan seorang doktor perubatan dan aktivis kemanusiaan Malaysia yang aktif terlibat dalam pelbagai misi bantuan antarabangsa termasuk berkaitan Palestin dan Gaza.

Menurut beliau, penyertaannya dalam misi tersebut bukan sesuatu yang pernah diimpikan sebelum ini, namun percaya segala yang berlaku dalam hidup telah diatur Allah dengan penuh hikmah.

“Saya tidak pernah mengimpikan atau menyangka akan berada bersama di dalam kapal-kapal ini. Saya hanya mengimpikan untuk bersama orang Gaza.

“Saya yakin setiap yang diatur oleh Allah dalam hidup saya adalah apa yang didoakan dan untuk kebaikan saya,” katanya menerusi satu perkongsian di media sosial.

Tambah beliau, hidup ini seharusnya dimanfaatkan untuk membantu insan lain dan misi tersebut menjadi salah satu jalan untuk merealisasikan hasrat itu.

“Saya percaya antara tujuan hidup ini adalah untuk menjadi yang paling bermanfaat kepada orang lain.

“Saya pernah mendengar ceramah Imam Omar berkaitan ‘use me as Your vessel’ dan saya merasa terdetik untuk melakukan sesuatu melalui misi ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Jihan berkata, apa yang paling diharapkannya ketika ini bukan sekadar kejayaan tiba di Gaza, sebaliknya penerimaan dan keredaan Allah terhadap usaha yang dilakukan.

“Yang paling kuasa hanyalah Dia. Yang amat saya harapkan hanya Allah menerima dan reda dengan apa yang kita lakukan.

“Perjalanan kami sudah ke fasa akhir. Doakan kami menjejakkan kaki dan bersama dengan orang Gaza,” katanya.

Dr. Jihan merupakan salah seorang aktivis Malaysia ditahan dan dipintas sebelum ini selepas beberapa kapal didakwa diceroboh tentera Israel di perairan antarabangsa.

Antara aktivis Malaysia lain ditahan ialah Zainal Rashid Ahmad, Osman Zolkifli, Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd. Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Norhelmi Ab. Ghani, Mohd Redzal Amzah, Muhamad Muhsin Zaidi dan Mohd Shamsir Mohd. Isa.

Bagaimanapun, tekanan dan ancaman tersebut tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan misi kemanusiaan berkenaan demi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada penduduk Palestin di Rafah dan Gaza. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN