KLANG – “Anak sulung saya itu masih koma, dia dijadualkan bernikah Disember ini”.
Itu luahan pilu Hamidah Othman, 54, ibu kepada seorang penunggang motosikal yang parah selepas dirempuh kereta dipandu lelaki mabuk dan melawan arus di Persiaran Kota di sini, minggu lalu.
Menurut ibu kepada empat anak itu, Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, masih dalam keadaan koma dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Katanya, anaknya yang merupakan penasihat servis di sebuah syarikat automotif itu mengalami pendarahan di otak selain cedera teruk termasuk patah tangan, kaki kanan, tulang belikat dan tiga jari.
“Dia masih belum sedarkan diri sehingga hari ini. Kami sekeluarga benar-benar berharap agar keadilan dapat ditegakkan dalam kes ini,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan mahkamah di sini, hari ini.
Terdahulu, seorang pembantu perancang acara, Low Kean Peng, 35, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan mangsa parah, kira-kira pukul 12.35 pagi 13 Mei lalu.
Tambah Hamidah yang menetap di Perak, ketika kejadian, anaknya sedang bekerja sambilan sebagai penghantar makanan untuk menambah pendapatan.
“Zulfiqar merupakan tulang belakang keluarga kami. Dia juga sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Disember ini di Pasir Gudang, Johor. Kami amat sedih melihat keadaannya yang masih koma,” ujar suri rumah itu.
Sementara itu, tunang mangsa, Nurul Syafiqah Ridzuan, 25, berkata segala persiapan perkahwinan telah dilakukan sejak mereka bertunang tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














