KUALA LUMPUR – Masih berlarutan, pelakon Linda Hashim mendedahkan suaminya, Beego masih enggan melafazkan cerai terhadapnya pada prosiding perbicaraan pengesahan lafaz taklik di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Menurut Linda, 41, perkara tersebut ditolak Beego atau nama penuhnya, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah ketika ditanya oleh Hakim Syarie, Nadia Khamis dalam prosiding hari ini.
“Tadi sebenarnya ada soalan daripada hakim sama ada dia nak lafaz atau tidak hari ini.
“Namun, dia tetap tak nak beri kerjasama, dia enggan lafaz juga dan terus nak pertahan diri untuk proses seterusnyalah. Jadi, tidak mengapa dan tunggu saja.
“Dia tidak beritahu sebarang sebab tetapi memang cakap tak mahu lafaz hari ini dan mahu teruskan kes serta panjangkan lagi perbicaraan kes kami,” katanya kepada Kosmo! Online.
Sementara, Beego yang diwakili peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan pula memberitahu kehadirannya ke mahkamah hari ini adalah sebagai tanda hormat terhadap undang-undang syariah
“Saya adalah pihak defendan dan memang akan ikut setiap peraturan ditetapkan mahkamah.
“Saya datang pun sebab kita kena ikut undang-undang, begitulah,” jelasnya.
Hari ini, mahkamah di sini menetapkan tarikh baharu bagi prosiding pengesahan lafaz taklik pasangan tersebut pada 18 Jun dan 9 Julai depan.
Terdahulu, kemelut rumah tangga Linda dan Beego atau nama sebenar Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, menjadi perhatian ramai apabila isterinya, Linda memfailkan perceraian dengan alasan tiada persefahaman.
Beego dan Linda pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 dan Linda juga membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan tiga anak.
Linda bagaimanapun mendakwa dia dan Beego kemudiannya bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk, namun kembali bersama tidak lama selepas itu.
Beego dan Linda berkahwin pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata perempuan berusia antara 12, 11, dan tujuh tahun. – KOSMO! ONLINE














