fbpx
FUZIAH berucap dalam Program Advokasi Dasar Pengguna Negara 2.0 dan Bual Bicara Pengguna di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

PKR ada bukti Rafizi, Nik Nazmi sertai parti baharu, bon RM10 juta masih terpakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa mempunyai bukti bahawa Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad telah menyertai parti politik baharu sebelum kedua-duanya mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing hari ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, susulan itu bon RM10 juta yang ditandatangani bekas Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR tersebut masih terpakai.

Menurut beliau, Ahli Parlimen Pandan dan Ahli Parlimen Setiawangsa itu sebelum ini mengumumkan akan mengosongkan kerusi Parlimen pada 18 hari bulan dan hanya keluar parti pada 19 hari bulan bagi mengelakkan Akta Anti Lompat Parti dikenakan terhadap mereka.

“Namun, saya ada bukti mereka telah pun menyertai parti Bersama (Parti Bersama Malaysia) lebih awal. Dalam laman sesawang Bersama, terdapat ‘timestamp’ pendaftaran bertarikh 17 hari bulan.

“Kalau ikut Perlembagaan parti, mereka sebenarnya sudah melompat parti pada 17 hari bulan, iaitu sebelum kerusi Parlimen dikosongkan hari ini,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Advokasi Dasar Pengguna Negara 2.0 dan Bual Bicara Pengguna di Hotel Seri Malaysia, di sini hari ini.

Tambah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu, pihak penasihat undang-undang PKR akan meneliti perkara berkenaan sebelum sebarang tindakan saman diputuskan terhadap kedua-dua bekas pemimpin parti itu.

“Kita akan kaji dari sudut undang-undang kerana Akta Anti Lompat Parti dipercayai masih terpakai memandangkan mereka didakwa telah mendaftar menyertai parti lain sebelum mengosongkan kerusi secara rasmi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata PKR turut akan membincangkan tindakan terhadap lima lagi Ahli Parlimen parti itu yang dilihat bersama Rafizi dan Nik Nazmi dalam satu program di Petaling Jaya semalam.

“Kita akan bincangkan perkara ini dalam Mesyuarat Biro Politik PKR esok, termasuk tindakan terhadap semua yang terlibat dalam program tersebut,” katanya.

Semalam, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan pengambilalihan Parti Bersama Malaysia dan akan mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing pada Pilihan Raya Umum akan datang.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN