GUA MUSANG – Seorang lelaki yang juga suami kepada guru besar sebuah sekolah di sini ditahan bagi membantu siasatan kes mengintai murid perempuan di kawasan tandas sekolah tersebut baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, lelaki berusia 60 tahun itu direman tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sementara itu, sumber berkata, warga emas tersebut dikatakan kerap dilihat dalam keadaan mencurigakan berhampiran tandas murid sebelum tindakannya disedari beberapa kanak-kanak perempuan.
Katanya, situasi itu mencetuskan rasa tidak selamat dalam kalangan murid dan ibu bapa yang bimbang terhadap keselamatan anak-anak mereka di sekolah.
“Kejadian pertama berlaku pada pukul 2.15 petang, 7 April lalu di kantin sekolah. Empat murid perempuan memaklumkan mereka terdengar jeritan dari dalam tandas.
“Mereka mendakwa melihat dua pelajar perempuan tahun dua berada dalam tandas sebelum ternampak seorang lelaki keluar dari lokasi tersebut,” katanya.
Sumber mendakwa, lelaki sama kerap dilihat di kawasan surau sekolah pada waktu petang awal bulan ini ketika Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) berlangsung. Lelaki itu didakwa mengintai pelajar yang mengambil wuduk. Satu laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan. – KOSMO! ONLINE














