fbpx
REGU negara mempamerkan aksi bertenaga ketika menewaskan Singapura pada saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi. – GAMBAR: AMIR KHALID

Regu negara selesa ‘lanyak’ Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Skuad regu lelaki negara terus mempamerkan taring sebenar apabila melangkah ke suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selaku juara Kumpulan A selepas menewaskan Singapura 2-0 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Turun dengan status antara pencabar utama kejuaraan, Malaysia yang dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam tampil cukup dominan tanpa memberi sebarang peluang buat lawan mengatur kebangkitan.

Sejak mata pertama, skuad negara menguasai gelanggang menerusi servis tajam, libasan padu serta kawalan kemas di jaring sehingga menyebabkan regu Singapura bergelut mencari rentak permainan.

Gandingan Muhammad Effendy Khamis, Muhammad Tasman Mohammad Belal dan Abdul Hammirruddin Mohd Noor dilihat sukar menandingi kepantasan serta intensiti tinggi yang dipamerkan pemain negara.

Malaysia kemudian menoktahkan set pertama dengan kemenangan 15-9 sekali gus memberi gambaran awal bahawa jurang kualiti antara kedua-dua pasukan cukup ketara.

Memasuki set kedua, barisan kejurulatihan negara melakukan rombakan dengan memasukkan Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhamad Noraizat Mohd Nordin bagi mengekalkan momentum permainan.

Pertukaran tersebut nyata tidak menjejaskan rentak pasukan apabila Malaysia terus garang memburu mata demi mata sebelum mudah menamatkan cabaran Singapura 15-5 untuk kemenangan straight set.

Kejayaan itu sekali gus mengesahkan Malaysia muncul juara kumpulan selain meneruskan rekod kemenangan bersih sepanjang saingan peringkat awal kejohanan.

Bagaimanapun, cabaran sebenar bakal menanti skuad negara apabila dijadual berdepan Filipina selaku naib juara Kumpulan D dalam aksi suku akhir yang berlangsung malam ini. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN