Saudara pengarang,
MINGGU lalu saya berkesempatan balik untuk menziarahi keluarga di kampung di Kelantan.
Saya memahami beberapa kawasan bermula dari Gua Musang hingga ke Kuala Krai kini dalam proses pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Tengah (LTU) yang dijangka siap dalam beberapa tahun lagi.
Apa yang menyedihkan saya adalah sikap segelintir pemandu lori atau sentiasa dipanggil ‘pilot darat’ yang masih berdegil melalui laluan yang sebelum ini diisytiharkan larangan untuk kenderaan berat.
Laluan itu adalah bermula dari bulatan Simpang Pulai sehingga ke Taman Wangi iaitu laluan sementara yang dibina untuk memberi laluan kepada projek lebuh raya terbabit.
Ini kerana laluan tersebut sebelum ini rosak teruk akibat digunakan oleh kenderaan berat sehingga pada musim perayaan ramai yang tersekat di laluan tersebut lebih dua jam.
Saya bimbang, sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil tindakan tegas kepada kenderaan berat, dikhuatiri laluan itu akan kembali rosak.
Akibatnya pasti setiap kali perayaan akan mengalami kesesakan yang teruk. Sanggupkan anak perantau ‘tersangkut’ lama di jalan akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemandu ini?
Harap pihak berkuasa sentiasa memantau laluan ini, sekiranya masih ada yang ingkar, saman sahaja kerana arahan sudah dikeluarkan sebelum ini.
Jangan disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. Ingat jalan raya untuk dikongsi semua, jangan susahkan orang lain akibat kedegilan kita.
Abang Ron95,
Pasir Puteh, Kelantan














