KLANG – Seorang lelaki warga emas yang juga pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) ditahan bagi membantu siasatan kes kemalangan dua beradik maut di Jalan Pekan Baru, Bandar Baru Klang di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, penahanan suspek tempatan berusia 75 tahun itu dilakukan pihaknya, kira-kira pukul 11.40 pagi semalam.
“Lelaki yang juga pemandu SUV itu akan direman bagi siasatan lanjut. Hasil semakan mendapati suspek tidak memiliki rekod lampau sama ada jenayah dan dadah,” katanya hari ini.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860 atau balai polis berdekatan.
Kosmo! melaporkan perjalanan dua beradik keluar makan malam dengan berjalan kaki berakhir tragedi apabila maut dirempuh sebuah SUV dalam kejadian langgar lari di lokasi itu.
Kemalangan kira-kira pukul 7.40 petang itu mengakibatkan mangsa wanita tempatan berusia 57 dan 62 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Insiden tragis itu turut menyebabkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang juga anak seorang daripada mereka cedera. – KOSMO! ONLINE














