SEMANGAT permotoran dan ukhuwah dalam kalangan komuniti ini terus diperkukuhkan menerusi penganjuran PADU Ride Karnival Mega JPJ Madani 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 April lalu.
Aktiviti ini disertai oleh komuniti permotoran di seluruh negara termasuk kelab motosikal PADU Negeri Johor yang diadakan di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.
Presiden PADU Negeri Johor, Aquekaram Nasir memberitahu, program tersebut bukan sahaja menjadi platform perhimpunan komuniti bikers, malah bertujuan menyokong usaha Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam mempromosikan budaya permotoran yang lebih positif, selamat dan berhemah.
Katanya, Kelab Motosikal PADU Negeri Johor merupakan sebuah kelab permotoran yang aktif menghimpunkan komuniti bikers dari pelbagai daerah seperti Segamat, Kluang, Johor Bahru, Batu Pahat dan Tangkak.
“Pada 24 April lalu, hampir 50 motosikal berkuasa tinggi pelbagai jenis berkumpul di Dataran Segamat bagi sesi pelepasan rasmi konvoi menuju ke Pulau Pinang.

“Majlis pelepasan disempurnakan dengan kehadiran tetamu terhormat dan sokongan daripada pihak JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Agama Segamat, Pejabat Tanah Segamat, Majlis Perbandaran Segamat serta Penghulu Kanan Daerah Segamat,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.
Pada keesokkannya, barisan peserta menghadiri program utama di Stadium Batu Kawan sempena Majlis Penjenamaan Semula Skuad Muda JPJ kepada Skuad Sahabat JPJ (SSJ).
Tambah Aquekaram, matlamat utama aktiviti ini adalah untuk menyokong program Karnival Mega JPJ Madani 2026 serta mengeratkan hubungan silaturahim antara kelab motosikal dari seluruh negara.
Katanya, pada waktu malam pula ahli PADU menghadiri majlis makan malam bersama sahabat-sahabat PADU sebagai simbol penghargaan dan mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan.

Program ini bukan sahaja bertujuan menunjukkan sokongan terhadap usaha JPJ MADANI melalui penjenamaan semula Skuad Muda JPJ tetapi pada masa sama memperkukuhkan ukhuwah dalam komuniti permotoran sambil mempromosikan budaya permotoran yang lebih positif, selamat dan berhemah.
“Setelah dua hari terlibat dengan acara tersebut kami pulang semula ke Johor pada 26 April,” katanya.
Aquekaram mengharapkan program berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuhkan kerjasama antara komuniti motosikal dan agensi kerajaan selain mendidik penunggang supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di jalan raya.
Aktiviti konvoi sebegitu bukan sekadar aktiviti permotoran tetapi platform menyatukan komuniti bikers dari pelbagai negeri dalam suasana harmoni.














