fbpx
LIVERPOOL berdepan kekalahan ke-12 musim ini sekali gus menjadi rekod terburuk mereka sejak musim 2014/15. - AFP

EPL: Liverpool pilih jalan sukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui aksi hambar pada babak kedua menjadi punca kekalahan 2-4 kepada Aston Villa di Villa Park awal pagi semalam sehingga meletakkan impian mereka mara ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan dalam bahaya.

Kekalahan itu menyaksikan Liverpool gagal mengesahkan tempat dalam kelompok lima terbaik untuk ke saingan Eropah berkenaan, malah mereka berpeluang dipintas oleh Bournemouth apabila hanya memiliki baki satu lagi perlawanan musim ini.

Selepas Virgil Van Dijk menyamakan kedudukan hasil gol pembukaan Morgan Rogers pada awal babak kedua, kesilapan Dominik Szoboszlai membuka ruang kepada Ollie Watkins untuk meletakkan Villa kembali di hadapan.

Pasukan tuan rumah kemudian mengambil kesempatan terhadap reaksi lemah Liverpool apabila Watkins dan John McGinn menjaringkan gol tambahan, sekali gus menjadikan gol kedua Van Dijk pada masa kecederaan tidak bermakna.

Skuad kendalian Slot kini perlu menewaskan Brentford F.C. di laman sendiri pada perlawanan terakhir musim untuk mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara, namun mereka mengharapkan Bournemouth tewas kepada Manchester City minggu ini.

“Sekarang kami tahu satu perkara dengan pasti, kami perlu menang minggu depan jika mahu menentukannya sendiri nasib kami. Memang mengecewakan kerana kami gagal mendapatkan kemenangan kali ini.

“Selepas kedudukan 2-1 kami mula bergelut dan gagal bermain seperti dirancang. Kami gagal mengawal kepantasan, intensiti dan kualiti yang ditunjukkan oleh Villa,” katanya.

Apabila ditanya sama ada beliau kecewa kerana Liverpool terus dihantui masalah yang sama musim ini apabila benteng pertahanan mereka dilihat terlalu rapuh, Slot terpaksa mengakui kebenaran itu.

“Kami menjaringkan dua gol dalam situasi bola mati. Biasanya jika anda menjaringkan dua gol menerusi bola mati dalam satu perlawanan, anda hampir pasti akan mendapat keputusan positif, tetapi kami juga bolos tiga gol dengan bola mati seperti yang berlaku kali ini,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN