JEMPOL – Seorang remaja lelaki meninggal dunia selepas motosikal jenis Yamaha 135 LC yang dia tunggang melanggar tiang lampu jalan dalam kejadian di Kilometer 17, Jalan Simpang Pertang-Kuala Pilah, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, kejadian pukul 6.40 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 18 tahun gagal mengawal motosikalnya selepas melepasi selekoh tajam.
“Dia terbabas ke kiri bahu jalan dan melanggar tiang lampu jalan. Dia kemudian dibawa ke Hospital Jempol sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.
Sehubungan itu, polis meminta saksi kejadian menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Siti Nor Amiera Zohhani di talian 017-886 4714 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














