fbpx
Mohd. Sabri (tengah) ketik menjalankan pemeriksaan alat timbang dan sukat ke atas peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Tawar harga murah, tapi tipu timbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Segelintir peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, masih ‘berdegil’ apabila dikesan melakukan pelbagai ketidakpatuhan membabitkan penggunaan alat timbang dan sukat.

Perkara itu dikesan susulan operasi bersepadu Op Embun 2.0 dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur bersama Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd. Sabri Seman berkata, sebanyak 382 pemeriksaan dijalankan dengan 18 kesalahan dikesan sepanjang operasi yang bermula kira-kira pukul 1 pagi.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 16 kes diambil tindakan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 manakala dua lagi kes membabitkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan nilai kompaun keseluruhan RM5,600.

“Peniaga yang degil ini sering melakukan manipulasi harga bila tidak sahkan alat timbang dan sukat. Ada yang dipercayai meletakkan harga murah daripada pesaing, namun sebenarnya bila timbang, barang jadi lebih berat daripada yang sepatutnya,” katanya selepas meninjau Op Embun 2.0 di Pasar Borong Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata, dua kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melibatkan dua gerai makan yang gagal mempamerkan harga serta menu dengan jelas selain memberikan pelbagai alasan termasuk mendakwa terlupa berbuat demikian.

“Mereka beri pelbagai alasan yang pada kita sukar diterima. Ada yang kata terlupa dan sebagainya. Rata-rata peniaga di sini telah berniaga lebih daripada enam tahun. Saya percaya khususnya di Kuala Lumpur, tiada peniaga yang tidak tahu mengenai undang-undang,” ujarnya.

Mohd. Sabri berkata, berdasarkan perbandingan dengan Op Embun sebelum ini, jumlah ketidakpatuhan dikesan menunjukkan penurunan apabila operasi terdahulu merekodkan 26 kes berbanding hanya 18 kes kali ini.

Beliau berkata, semua peniaga diwajibkan memastikan alat timbang dan sukat digunakan berada dalam keadaan baik, tepat serta telah ditentusah.

Tambahnya, pihak KPDN bersama Metrology Corporation Malaysia Sdn. Bhd. (MCM) sebelum ini juga telah mengadakan perkhidmatan khas menentusah alat timbang dan sukat di Pasar Borong Kuala Lumpur pada 1 dan 22 April lalu.

“Jadi malam ini kita memastikan penguatkuasaan dilaksanakan sepenuhnya tanpa kompromi. KPDN juga ingin memberi peringatan tegas kepada semua peniaga supaya mematuhi segala peraturan ditetapkan kerajaan dan KPDN khususnya berkaitan penggunaan alat timbang dan sukat yang sah serta masih dalam tempoh valid,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN