fbpx
MUSTAKIM Mohamad bersama pengurusan operasi haji meninjau khemah masyair di Arafah, Mekah, semalam.

Katil sofa antara penambahbaikan khemah Mina dan Arafah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) menampilkan penambahbaikan masyair musim haji tahun ini dengan setiap jemaah disediakan katil sofa khas dan khemah yang dilengkapi penebat haba bagi mengurangkan bahang cuaca panas.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, kemudahan itu dilihat sebagai antara pembaharuan terbesar dalam usaha meningkatkan keselesaan jemaah di samping mahu mereka dapat memfokuskan sepenuhnya kepada ibadah di Arafah dan Mina serta mencapai haji mabrur.

Katanya, setiap jemaah disediakan katil sofa yang boleh dilaraskan mengikut keselesaan sama ada untuk duduk atau berbaring.

“Setiap jemaah akan mempunyai katil sendiri. Kita juga akan meletakkan tag nama dan gambar bagi memudahkan mereka mengenal pasti tempat masing-masing. Maknanya, setiap orang pasti ada ruang sendiri dan tidak perlu berebut tempat.

“Selain itu, ruang penyimpanan khas turut disediakan bagi membolehkan jemaah menyimpan beg, barangan peribadi dan kelengkapan mandian tanpa perlu meletakkannya di lantai sehingga mengganggu ruang,” katanya kepada pemberita ketika meninjau persiapan akhir operasi masyair haji Malaysia di sini semalam.

Dalam pada itu, Mustakim berkata, selain itu reka bentuk baharu khemah masyair yang dilengkapi penebat haba bagi mengurangkan bahang cuaca panas yang dijangka mencecah lebih 40 darjah Celsius.

Katanya, unit pendingin hawa jenis ‘split unit’ turut dipasang di setiap khemah dengan kedudukan kompresor ditempatkan di atas khemah bagi mengelakkan laluan pejalan kaki menjadi panas.

Mustakim memberitahu, jumlah tandas di Mina turut ditingkatkan secara drastik iaitu hampir lima kali ganda berbanding musim lalu bagi mengurangkan kesesakan jemaah.

“Jika sebelum ini hanya sekitar 100 tandas disediakan, tahun ini jumlahnya meningkat kepada kira-kira 600 tandas,” katanya.

Beliau berkata, menyedari kepentingan telefon bimbit kepada jemaah terutama untuk komunikasi dengan keluarga dan petugas, kemudahan mengecas telefon turut dipertingkatkan musim ini.
Katanya, keseluruhan persiapan operasi masyair ketika ini telah melebihi 90 peratus dan berada pada tahap memuaskan.

Menurut Mustakim, semua usaha penambahbaikan dilakukan dengan satu matlamat utama iaitu memastikan jemaah dapat memberi fokus sepenuhnya kepada ibadah dan seterusnya mencapai haji mabrur.

“Kita mahu jemaah fokus kepada ibadah. Sebab itu kita cuba sediakan segala kemudahan yang diperlukan supaya operasi berjalan lancar dan jemaah berada dalam keadaan selesa,” katanya.

Dalam perkembangan sama katanya, jemaah dinasihatkan supaya membawa beg bersaiz kecil ketika bergerak ke Arafah dan Mina bagi mengelakkan kesesakan ruang di khemah.

“Makanan dan kelengkapan asas semuanya telah disediakan. Jadi tidak perlu membawa terlalu banyak barang atau makanan dari hotel,” katanya.

Beliau turut mengingatkan jemaah supaya sentiasa mematuhi arahan petugas Tabung Haji dan bergerak mengikut maktab masing-masing bagi mengelakkan tersasar di kawasan masyair yang luas dan mempunyai rupa khemah hampir sama.

“Bagi memudahkan pengecaman, setiap maktab akan menggunakan warna berbeza selain dilengkapi papan tanda khas di setiap laluan masuk,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN