fbpx
Gambar hiasan.

Tiga NGO dibenar cabar isu pengecualian cecair vape

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tiga badan bukan kerajaan (NGO) berjaya dalam semakan kehakiman mereka bagi mencabar keputusan Menteri Kesihatan yang ketika itu mengecualikan cecair atau gel rokok elektronik (vape) daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952.

Hakim Datuk Aliza Sulaiman (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan itu selepas mendapati pengecualian yang dimasukkan dalam Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023 adalah tidak rasional dan dibuat tanpa rundingan yang sewajarnya dengan Lembaga Racun.

Mahkamah turut memutuskan kemasukan pengecualian itu ultra vires Seksyen 6 Akta Racun 1952.

Dalam penghakimannya menerusi aplikasi Zoom, Aliza berkata mahkamah berpuas hati bahawa keputusan memasukkan pengecualian tersebut didorong terutamanya oleh faktor ekonomi, khususnya susulan cadangan kerajaan mengenakan duti eksais terhadap cecair rokok elektronik dan rokok elektronik yang mengandungi nikotin ketika pembentangan Belanjawan 2023.

Katanya, meskipun kerajaan menyedari rokok elektronik dan cecair itu berbahaya kepada kesihatan, serta Malaysia, responden pertama tetap meneruskan perintah berkenaan bagi memberi kesan kepada keputusan berhubung percukaian.

Mahkamah juga mendapati wujud kelompongan undang-undang dalam mengawal selia rokok elektronik dan produk vape bernikotin sebelum Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024.

Menurut Aliza, pewartaan akta tersebut kemudian mengukuhkan hujahan pemohon bahawa pengecualian itu tidak rasional kerana ia menunjukkan tiada kerangka undang-undang komprehensif sepanjang tempoh material berkenaan.

Semasa prosiding, peguam K. Shanmuga yang mewakili tiga NGO berkenaan manakala Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan yang mewakili Menteri Kesihatan.

Semakan kehakiman itu difailkan oleh Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MKTM), Pertubuhan Green Lung Malaysia dan Voice of Children atas alasan tindakan mengeluarkan cecair dan gel vape daripada Senarai Racun adalah salah, tidak rasional dan tidak mengikut prosedur.

Sebelum ini, pada prosiding lalu, Shanmuga berhujah, Menteri Kesihatan (ketika itu) terkhilaf kerana tidak berunding dengan Lembaga Racun sebelum Kabinet meluluskan untuk menyah cecair nikotin daripada senarai bahan terkawal.

Hujah beliau, keputusan Mac 2023 untuk mengeluarkan cecair nikotin daripada Senarai Racun, bermakna vape menjadi tidak terkawal dan boleh dijual secara sah kepada kanak-kanak.

Ujarnya, keadaan itu berlarutan hampir 17 bulan, sehingga akhirnya akta itu berkuat kuasa pada Oktober 2024.

Kata peguam, keputusan yang dicapai oleh kerajaan adalah cacat dan mahkamah masih boleh memutuskan isu berbangkit meskipun perkara itu kini akademik.

Bagaimanapun, Nurhafizza berhujah, isu yang dibangkitkan oleh peguam telah dimuktamadkan sebelum undang-undang tersebut dilaksanakan.

Hujah beliau, perkara tersebut telah dibincang di peringkat kementerian dan menteri mempunyai kuasa untuk meminda senarai bahan berjadual.

Sehubungan itu, katanya, Menteri Kesihatan tidak melangkaui kuasa yang diperuntukkan terhadapnya apabila mengeluarkan cecair nikotin daripada senarai Akta Racun 1952.

Terdahulu menurut afidavit yang difailkan kesemua NGO, mereka mendakwa sebagai Menteri Kesihatan, defendan pertama telah gagal menjalankan tanggungjawabnya untuk menjaga kesihatan awam.

Ini kerana tindakan mengecualikan cecair nikotin daripada Akta Racun telah memudaratkan kesihatan awam secara khususnya terhadap kanak-kanak yang merupakan kalangan yang paling terdedah dalam masyarakat.

Selain itu, plaintif mendakwa menteri telah bertindak tanpa mengambil kira pandangan Lembaga Racun dan tidak menyatakan alasan munasabah untuk bertindak bertentangan dengan keputusan yang dibuat oleh lembaga berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN