BESUT – Biarpun menerima ujian bertimpa-timpa, sepasang suami isteri tetap tabah menjaga anak bongsu mereka yang menghidap penyakit jarang jumpa, sindrom Moebius-Poland.
Menurut Rosmawati Mohd. Salleh, 44, penyakit itu mengakibatkan anaknya, Muhammad Fayyad Iman Kamarul, 5, mengalami pelbagai komplikasi berkaitan kelainan perkembangan saraf wajah dan otot dada sejak lahir.
“Difahamkan, anak bongsu daripada lima beradik itu terkena penyakit itu akibat dijangkiti kuman ketika usianya lapan bulan dalam kandungan.
“Jadi dia menderita enam penyakit kronik sekali gus, keadaan ini mungkin hingga ke akhir hayatnya,” katanya ketika ditemui di Bukit Payung, di sini semalam.
Ujarnya, penyakit tersebut ialah masalah paru-paru kronik, tulang belakang bengkok, gangguan saraf kaki dan masalah penghadaman.
“Fayyad juga mengalami rabun mata akibat ketiadaan kelenjar air mata selain lelangitnya berlubang,” katanya.
Fayyad kini mendapat rawatan berkala di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kota Bharu, Kelantan dan kos susu khas serta lampin pakai buang mencecah RM1,000 sebulan.
“Malang berganda apabila suami, Kamarul Ariffin, 49, tidak boleh buat kerja-kerja berat akibat kemalangan jalan raya pada Oktober tahun lalu. Kami terus diuji apabila saya patah bahu kanan akibat kemalangan motosikal sewaktu perjalanan mahu menjaga Fayyad di Hospital Besut minggu lalu,” katanya.
Ujarnya, mereka hanya bergantung bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan, selain pernah menerima sekali bayar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.
Bantuan boleh dihulur menerusi akaun bank Rosmawati bernombor 7007 8050 80 (CIMB) atau menghubunginya di talian 011-1087 9315.














