MELAKA – Niat murni seorang lelaki mahu menyelamatkan seekor kucing berakhir tragedi apabila dia terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira 4 meter di belakang rumahnya di Taman Melaka Perdana, Ayer Keroh di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa berusia 32 tahun dipercayai terpijak penutup longkang konkrit sebelum terjatuh ke dalam longkang tersebut di kawasan semak di atas bukit belakang rumahnya.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.58 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil bersama bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati benar terdapat seorang lelaki terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira 4 meter di belakang rumah.
“Mangsa dipercayai terjatuh selepas terpijak penutup longkang konkrit ketika cuba menyelamatkan seekor kucing yang berada di kawasan semak berhampiran,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut beliau, mangsa dipercayai berada hampir 30 minit di dalam longkang sebelum disedari orang awam yang kemudian menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
“Operasi menyelamat dijalankan menggunakan teknik hauling dengan bantuan peralatan sked stretcher bagi membawa mangsa naik ke atas dengan selamat.
“Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital selepas mengalami kecederaan pada kaki kanan,” ujarnya.
Tambahnya, seramai 14 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) terlibat dalam operasi tersebut.
Ujarnya lagi, operasi berjaya dikawal pada pukul 12.41 tengah hari sebelum tamat sepenuhnya kira-kira pukul 1.06 petang.- KOSMO! ONLINE














