KUALA LUMPUR – Pegawai dan anggota polis yang bertugas di lokap Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh digantung tugas bagi membantu siasatan berhubung penemuan pelbagai barangan terlarang termasuk dadah, telefon bimbit dan senjata tajam di dalam sel tahanan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tindakan segera telah diambil dengan mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) menjalankan siasatan lanjut.
Menurutnya, tindakan susulan turut dilaksanakan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan beberapa jabatan berkaitan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Semua Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah (KPD) juga diarahkan melakukan pemeriksaan di semua lokap dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap keselamatan dan pemantauan sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Secara keseluruhannya, kita melihat keadaan masih baik dan terkawal. Cuma dalam satu kes terbaru, hasil siasatan mendapati berlaku sedikit kelompongan apabila beberapa bahan terlarang dijumpai di dalam lokap,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan pemeriksaan mengejut yang dijalankan JIPS Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak membongkar penemuan pelbagai barangan terlarang termasuk dadah, telefon bimbit dan senjata tajam di dalam sebuah sel lokap di Balai Polis Sentral IPD Ipoh.
Serbuan bermula pukul 9.30 malam hingga 3 pagi Selasa lalu itu dilakukan hasil maklumat awam diterima pihak berkuasa.
Pemeriksaan di lokap yang menempatkan empat Orang Kena Tahan (OKT) lelaki membawa kepada penemuan sebuah telefon pintar jenis Vivo pada tubuh salah seorang tahanan.
Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan sebuah kotak bertulis ‘Fire Sens’ yang menyembunyikan 22 paket plastik lutsinar dipercayai heroin seberat 4.23 gram serta satu paket disyaki methamphetamine seberat 1.6 gram. – KOSMO! ONLINE














