fbpx
DILABEL ‘malang’ dek seringkali cinta tidak kesampaian sehingga disarankan mandi bunga kononnya mengembalikan aura positif, si jelita Nadia Brian enggan rebah dalam nista. Dia yakin ada yang indah tertulis pada langit takdir, tinggal lagi, hidup harus dijalani sebaik-baiknya.

‘Cari jodoh, saya disuruh mandi bunga, minum air tawar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAKAT lakonan si jelita bernama Nadia Brian yang sudah lebih sedekad menghiasi industri seni tanah air tidak perlu dipersoalkan.

Wajahnya terpapar dalam variasi naskhah bersama pembawaan karakter air mata atau penggoda yang mengundang benci, semuanya dilunaskan dengan penuh disiplin.

Di sebalik penghayatan watak yang layak dikalung pujian, hakikatnya cerita gagal dalam percintaan jua lebih menggoda untuk dicanang.

Bertemu empat mata dengan pemilik nama sebenar Nadia Najwa Mohamed Rashidi itu, dia sudah dapat meneka soalan yang bakal dilontarkan.

Bosan atau sudah lali, begitulah realiti perlu ditelan apatah lagi wujud mulut nakal melabelnya ‘malang’ atau tiada tuah dalam percintaan, satu stigma yang tidak mudah dihadam meskipun dilontar tanpa berfikir panjang.

“Pertama sekali, sudah tentu sedih. Perkataan ‘malang’ itu sebenarnya tak wajar dilontarkan kerana kata-kata itu boleh menjadi doa. Dalam hubungan, setiap manusia mahu hidup berpasangan.

“Sejak kecil lagi kita sudah dibiasakan dengan impian berkeluarga, berkahwin, mencintai dan dicintai. Perasaan sedih itu memang ada, tetapi jika terlalu dilayan, semua itu boleh merosakkan diri sendiri termasuk kesihatan mental apabila terlalu memikirkannya.

“Jadi saya percaya jodoh, pertemuan dan ajal di tangan Tuhan. Mungkin Allah simpan sesuatu yang lebih baik. Kalau terlalu ikut cakap orang, kita pula yang tidak bahagia,” katanya kepada HibGlam.

MESKI sering kecundang dalam percintaan, Nadia tidak serik dan percaya Allah sudah mengaturkan jodoh terbaik buat dirinya.

Tidak serik

Meski pernah terduduk memikirkan nasibnya dalam perhubungan cinta, anak jati Kangar, Perlis itu bagaimanapun bersangka baik dengan aturan Ilahi selain berharap yang manis-manis akan tiba tepat pada waktunya.

“Sekarang saya lebih fokus pada diri sendiri. Bukan tak mahu bercinta tetapi enggan menjadikannya keutamaan. Bila terlalu mengejar, akhirnya kita yang tidak bahagia. Rasa putus asa itu ada, tapi bukanlah sampai menutup pintu hati.

“Orang ingat saya serik tapi tidak. Cuma saya perasan mungkin ada yang takut untuk mendekati. Mereka kata saya terlalu ‘high maintenance’ dan berdikari. Hakikatnya saya sama sahaja seperti wanita lain, tetap mahukan pasangan.

“Mungkin kesibukan kerja membuatkan saya tiada masa. Jadual pula padat, ‘back to back’ kerja. Itu rezeki, saya bersyukur. Tapi kalau jodoh itu ada di luar sana, muncullah cepat sedikit, saya tunggu,” ujarnya berseloroh.

Menyentuh tentang cadangan mandi bunga atau minum air tawar sebagai ikhtiar mencari jodoh, aktres berusia 34 tahun itu ketawa kecil, namun menghargai setiap idea peminat yang barangkali bersimpati dengan nasibnya.

“Ya, saya selalu dengar orang suruh mandi bunga atau minum air tawar. Kononnya untuk menarik aura. Saya percaya aura tetapi jangan sampai menyimpang. Itu penting.

“Sebenarnya jodoh bukan jaminan bahagia. Perkahwinan bukan penamat, sebaliknya permulaan perjalanan baharu. Jadi semua petua itu mungkin sekadar gurauan atau alternatif, yang penting usaha, doa dan berserah kepada Tuhan,” jelasnya.

Dalam kesempatan sama, penulis cuba mengorek kisah hubungan singkatnya bersama ahli perniagaan Nedim Nazri yang dilihat lebih terbuka berbanding kisah cinta terdahulu.

DIINTAI ramai jejaka termasuk golongan kenamaan yang cuba menawan hatinya, Nadia enggan terburu-buru sebaliknya memilih meneliti banyak perkara termasuk keserasian.

Mengulas sama ada hubungan tersebut bersifat toksik sehinggakan terpaksa mengundur diri, wanita berdarah Melayu-Australia itu pantas menyangkal dakwaan tersebut.

“Sebenarnya saya sudah lama sendiri. Bila hadir seseorang, baru sekali dua jumpa dia terus mahu ada hubungan, saya fikir mungkin dia serius. Jadi saya beri peluang kepada dia dan diri sendiri. Namun kita hanya mampu merancang, Allah menentukan.

“Saya selalu doa, ‘kalau dia bukan jodoh saya, putuskan awal.’ Orang nampak hubungan itu tak menjadi, tapi mungkin itu doa yang dimakbulkan. Kalau diteruskan, barangkali tidak bahagia. Jadi lebih baik berhenti awal.

“Kami berpisah secara baik, kalau toksik pasti ada pergaduhan. Kami pilih untuk tenang, ambil masa dan fokus diri sendiri. Saya doakan kebahagiaan dia dan harap dia juga doakan saya,” ungkapnya.

Status kembali solo mula dihidu ramai, Nadia tidak menafikan wujudnya beberapa individu berani mencuba nasib menghantar mesej peribadi (DM) termasuk golongan kenamaan, namun memilih untuk tidak terburu-buru membuka ruang hati.

“Ada memang ada tetapi saya sibuk, tak sempat nak keluar berjumpa. Kalau boleh, saya enggan hubungan yang memberi tekanan. Bukanlah saya menolak terus, siapa kita untuk menidakkan takdir tapi saya sentiasa fikir soal risiko, keserasian dan kesan pada masa depan.

“Saya okey berkawan, saya terbuka. Kalau ada lelaki serius, mahu berkahwin dan membina kehidupan, mengapa tidak? Kita doa sahaja, mungkin dia jodoh kita dan saya juga sentiasa berdoa perkara sama,” luahnya.

Menyentuh isu tular mengenai artis sombong, pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa itu tidak menafikan dirinya juga pernah berdepan situasi serupa dan memilih untuk kekal dengan prinsip diri.

“Bukan hanya dengan peminat, sesama artis pun begitu. Hakikatnya, sombong itu sikap, bukan berkait kerjaya. Bila kita berada di hadapan ramai orang, dapat perhatian, kita kena buang jauh-jauh rasa sombong.

“Sikap itu boleh menjatuhkan karier dan diri sendiri. Saya pun pernah jumpa artis bersikap begitu di beberapa acara. Tapi saya pilih untuk kekal baik dengan semua orang.

“Tak faham kenapa perlu sombong. Kita semua sama sahaja, tak kisah artis terkenal atau ada jutaan pengikut. Kita ini sebenarnya tiada apa-apa. Jadi jangan angkuh kerana sikap itu akan makan diri,” tegasnya.

Paling penting kata Nadia, niatnya masuk industri untuk mencari rezeki dan seboleh-bolehnya mengelak konflik dengan orang lain.

“Saya memang tak suka perkara negatif seperti bergaduh atau cemburu. Saya lihat dunia ini dalam skop lebih besar. Kita satu industri, satu rumpun. Kenapa perlu bermusuh? Kalau tak selesa, kita jauhkan diri, tiada istilah kutuk atau bergaduh.

“Bukan ‘propa’ tapi saya hanya jadi diri sendiri. Alhamdulillah, cara ini banyak melindungi saya daripada situasi tak dijangka,” ujarnya.

MENAFIKAN hubungannya dengan Nedim sesuatu yang toksik, Nadia sebaliknya menyifatkan perpisahan tersebut sebagai doa yang dikabulkan Tuhan.

Bukan cucuk!

Tidak hanya kisah cinta menjadi bualan, perubahan tubuhnya yang semakin langsing turut mencetuskan dakwaan kecantikannya tidak alami sebaliknya kerana hasil suntikan ubat kurus.

Aktres tinggi lampai itu menepis tuduhan tidak berasas tersebut selain menyifatkan perubahan dirinya adalah kerana mengamalkan gaya hidup sihat secara konsisten.

“Saya tinggi 169 sentimeter. Dahulu berat sekitar 65 kilogram (kg), sekarang 57kg. Saya kerja keras tapi itulah tetap ada yang kata saya ‘cucuk’. Tidak benar sama sekali, itu fitnah.

“Untuk kurus, cantik dan sihat, memang tiada jalan pintas. Semua perlukan usaha, disiplin dan konsistensi. Jangan guna jalan mudah dengan ambil ubat kurus atau benda tak selamat. Banyak kes buah pinggang rosak,” nasihatnya.

Segala tindak-tanduk sering menjadi bahan umpatan netizen, bintang Duyung: Legenda Aurora itu mengakui sudah lali.

“Bagi saya, itu perkara biasa. Bila kita pilih jadi diri sendiri dan berada dalam industri, mustahil orang tidak bercakap. Pasti ada suara ini tak kena, itu tak kena. Ada juga yang kata saya tak bertuah dalam jodoh.

“Mungkin ada yang ambil berat, mungkin ada juga mahu menjatuhkan. Tapi itu semua asam garam dalam hidup. Saya percaya, kalau kita bercakap baik dan doa baik, semua itu akan berbalik kepada kita,” tutupnya.

Foto SHIDDIEQIIN ZON Solekan AZMIER HISYAMUQRIS
Penata Gaya NANACHAH/NISAMIZY Busana MIMPI KITA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN