ASAS kesihatan sepanjang hayat seorang anak bermula dari saat mereka dikandung sehinggalah ke hari-hari pertama selepas dilahirkan.
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr. Sharmina Kamal Shamsul Kamal berkata, persediaan bermula lebih awal, bahkan sebelum ujian kehamilan menunjukkan keputusan positif.
Menurutnya, kesihatan yang baik, idealnya bermula sebelum hamil.
“Adalah penting agar bakal ibu menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu untuk mengenal pasti sebarang keadaan sedia ada seperti diabetes atau hipertensi.
“Jika ada, ia perlu diberi perhatian yang sewajarnya dengan lebih awal,” katanya.
Memandangkan kadar diabetes dan hipertensi semakin meningkat dalam golongan muda di Malaysia, saringan prakehamilan kini menjadi satu keperluan.
Keadaan kesihatan yang tidak didiagnosis atau tidak terkawal boleh menjejaskan ibu dan bayi.
Untuk itu, Dr. Sharmina turut menekankan pentingnya untuk menyemak ubat-ubatan yang diambil bagi memastikan ia selamat digunakan semasa hamil dan jangan abaikan asid folik.
“Memandangkan perkembangan tiub saraf bayi berlaku pada peringkat awal, pengambilannya perlu dimulakan sebelum keputusan ujian kehamilan positif.
“Pengambilan asid folik lebih awal memberi perlindungan optimum kepada ibu dan bayi terhadap risiko kecacatan tiub saraf yang serius,” jelasnya.
Dalam pada itu, setiap trimester membawa perkembangan yang unik.
Trimester pertama adalah fasa yang sangat sensitif kerana organ bayi sedang terbentuk.
Memasuki trimester kedua dan ketiga, bayi anda mula membesar dan semakin matang. Ketika ini, mereka sudah mula memberikan tindak balas apabila mendengar suara atau merasai pergerakan anda.
“Aspek pemakanan sering dipandang remeh. Jika ibu kekurangan nutrien penting, bayi juga mungkin terjejas,” terang Dr. Sharmina.
Jadi, elak merokok dan alkohol, mengehadkan kafein serta mengutamakan pemakanan seimbang adalah sangat penting.
Di Malaysia, kekurangan zat besi, kalsium dan vitamin D sering dilihat dalam kalangan ibu hamil.

Kekurangan zat besi boleh menyebabkan anemia hingga membuatkan ibu berasa sangat letih, dan berisiko menjejaskan perkembangan bayi dalam kandungan.
Kekurangan kalsium dan vitamin D boleh melemahkan tulang ibu semasa serta selepas kehamilan.
Bagaimanapun, suplemen hanya perlu diambil mengikut nasihat perubatan.
Diet seimbang yang kaya dengan protein, sayuran hijau, bijirin penuh dan produk tenusu atau alternatif yang diperkaya kekal menjadi kunci utama kesihatan.
Dr. Sharmina berkata, pemeriksaan antenatal kadangkala dianggap sebagai rutin biasa, namun jauh lebih penting.
“Pemeriksaan ini membantu kami memastikan kehamilan berjalan lancar, mengesan masalah lebih awal dan memastikan bayi anda membesar dengan sihat,” katanya.
Imbasan awal dilakukan untuk mengesahkan daya hidup janin (fetal viability) dan menentukan usia kehamilan dengan tepat.
Kebanyakan wanita akan menjalani pemeriksaan bulanan sehingga minggu ke-28, melainkan pemantauan lebih rapi diperlukan.
Keadaan seperti preeklampsia atau diabetes gestasi (kencing manis semasa hamil) biasanya dapat dikesan sebelum simptom menjadi lebih teruk.
“Pada setiap pemeriksaan, kami akan memantau bayi, uri dan air ketuban bagi memastikan segalanya berada di landasan betul,” jelasnya.
Menghurai lanjut, Dr. Sharmina berkata, beberapa jam pertama selepas kelahiran adalah saat paling kritikal.
Beliau turut menggalakkan sentuhan kulit ke kulit dengan segera kerana boleh membantu menstabilkan paras gula dalam darah bayi, menyokong penyusuan susu ibu dan menguatkan ikatan.
Dari segi emosi, ramai ibu mengalami ‘postpartum blues’ secara sementara.
Sekitar 60 peratus hingga 80 peratus ibu mungkin berasa sebak atau sensitif emosi dalam dua minggu pertama selepas bersalin.
Bagaimanapun, kesedihan yang berlarutan, memencilkan diri atau simptom yang semakin teruk mungkin menandakan kemurungan postpartum dan memerlukan perhatian perubatan dengan segera.
Dr. Sharmina berkata, semasa tempoh berpantang, khasiat adalah sangat penting.
Terangnya, protein, zat besi dan cecair yang mencukupi menyokong penyembuhan serta penghasilan susu.
“Menyekat pengambilan air boleh meningkatkan risiko dehidrasi dan darah beku, di samping mengurangkan bekalan susu ibu.
“Ibu digalakkan untuk bergerak secara perlahan-lahan agar peredaran darah bertambah baik. Cuma elakkan daripada tidak bergerak dalam tempoh lama,” jelasnya.
Sokongan keluarga paling berkesan dan beban kerja rumah dikurangkan agar ibu bapa dapat memberikan tumpuan sepenuhnya untuk mengeratkan ikatan dengan bayi.
Sementara itu, susu ibu menawarkan perlindungan kesihatan yang hebat. Namun, ramai ibu bergelut akibat kurang sokongan dan salah maklumat. Penghasilan susu pada mulanya sedikit secara semula jadi. Jadi, penyusuan yang kerap diperlukan untuk meningkatkan pengeluaran.
Sementara itu, pendidikan, sokongan tempat kerja serta dorongan keluarga adalah kunci utama.
Apabila keluarga berkumpul, langkah mudah seperti mencuci tangan dan mengehadkan sentuhan rapat semasa bayi masih kecil dapat mengurangkan risiko jangkitan sambil mengekalkan hubungan bermakna.
“Pilihan tepat, rawatan perubatan dan sokongan keluarga adalah kunci untuk ibu menikmati pengalaman ini bagi memastikan permulaan hidup yang sihat buat bayi,” katanya.















