LONDON – Pengurus sementara Manchester United, Michael Carrick sudah pun mendapat ‘restu’ daripada pimpinan tertinggi kelab itu yang bersedia untuk mencadangkan namanya sebagai pengendali tetap kepada Sir Jim Ratcliffe.
Sejak kejayaannya membantu pasukan mendapatkan tempat ke saingan Liga Juara-Juara, musim depan, Ketua Pegawai Eksekutif, Omar Berrada dan Pengarah Bola Sepak, Jason Wilcox sudah pun membuat kesimpulan bahawa Carrick adalah individu tepat untuk diangkat sebagai calon utama.
Bekas rakan sepasukannya, Darren Fletcher juga merasakan seluruh pemain turut berasa gembira dengan kehadiran Carrick khususnya dalam memberikan peluang kepada pemain muda.
“Ia menunjukkan Carrick ambil peduli dan ini menyerlahkan kelab ini memikirkan tentang pemain muda, bukan hanya sekadar bercakap,” katanya.
Sejak mengendalikan pasukan, Carrick menang 10 daripada 15 perlawanan dan hanya tewas dua kali, malah berjaya bantu The Red Devils mendaki ke kedudukan lebih baik dalam carta Liga Perdana Inggeris hingga layak ke pertandingan utama Eropah musim depan.
Malah, di bawah kendalian Carrick, jumlah pungutan 33 mata yang diraih United turut menjadikan kelab itu sebagai pasukan terbaik berbanding pesaing lain
Untuk rekod, Carrick juga pernah menggalas tanggugjawab pengurus sementara ketika pemecatan Ole Gunnar Solskjaer terbukti mampu melakukan penambahbaikan kepada pasukan sama ada dalam ataupun luar padang. – AGENSI














