PASUKAN Selangor FC berpeluang untuk ditabalkan sebagai ‘raja’ kelab Asia Tenggara yang baharu selepas mara ke final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) dengan menewaskan Nam Dinh secara agregat 4-1 pada aksi separuh akhir, kelmarin.
Pada perlawanan kedua di Vietnam itu, skuad Gergasi Merah yang membawa bekalan tipis 2-1 berjaya melakar kemenangan 2-0 hasil jaringan berganda penyerang sensasi, Chrigor Moraes untuk mengesahkan kemaraan pasukan ke final.
Pengendali Selangor, Kim Pan-gon menyifatkan kejayaan membantu skuad Merah Kuning ke pentas final berprestij antara detik bermakna memandangkan hanya lima bulan membimbing pasukan sejak dilantik pada Januari lepas.
Menurut Pan-gon, antara resepi kejayaan yang diraih dalam masa singkat bersama Selangor adalah disebabkan barisan pemain ‘cepat tangkap’ falsafah bola sepak yang cuba diterapkan.
“Sejak saya datang ke sini, kami cuba bina DNA dan karakter bola sepak sendiri. Perkara paling menggembirakan ialah dari hari ke hari dan perlawanan ke perlawanan, kami semakin dapat melihat identiti itu.
“Kami mahu jadi pasukan yang menyerang, solid dan mempunyai semangat kerja berpasukan yang kuat. Semua pemain sangat profesional dan itu paling membanggakan saya,” katanya.
Mengulas mengenai perlawanan yang diharungi, Pan-gon mengakui pasukan berdepan tekanan hebat khususnya pada awal permainan apabila Nam Dinh tampil dengan corak serangan agresif.
“Kami tahu mereka sangat kuat menyerang pada permulaan permainan, tetapi pemain-pemain kami bertahan dengan sangat baik dan berjaya mengharungi semua situasi sukar itu.
“Gol pertama yang kami hasilkan sangat penting dan kemenangan ini adalah hadiah buat penyokong setia kami,” katanya.
Selangor bakal menentang juara bertahan dari Thailand, Buriram United di pentas final ACC yang dijadualkan berlangsung pada 20 Mei depan di Stadium MB Petaling Jaya dan aksi timbal balik pada 27 Mei di Stadium Chang, Buriram.














