fbpx
Kemunculan Ghea Indrawari sekali lagi dalam sebuah konsert meniupkan bahagia ke jiwa-jiwa yang gemarkan lagu-lagu galau. – IQBAL ROSLI

Ghea Indrawari punya waktu, minta peminat peluk diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMA Ghea Indrawari mula memahat tapak dalam industri seni selepas menyertai pertandingan Indonesian Idol musim kesembilan pada tahun 2018.

Namun, graf popularitinya di Malaysia hanya mula memuncak secara drastik selepas fenomena lagu Jiwa Yang Bersedih meledak sejak dilancarkan pada 2023. 

Kerja kerasnya sepanjang berada dalam industri membuahkan hasil apabila dia dilamar mengadakan persembahan di festival muzik, AirAsia Hausboom pada tahun lalu sehingga ramai yang mula mengenali sosok wanita cantik itu.

Tahun ini, dia sekali lagi hadir ke Malaysia untuk menghiburkan peminat menerusi konsert solo berjudul Ghea Indrawari: Rasi Jiwa In Kuala Lumpur.

Membuka pentas dengan lagu Rasa Cinta Ini, Malaikat dan Bucketlist, seramai 1,200 penonton termasuk kelab peminatnya yang dikenali sebagai Ghaelways bersatu suara memberikan tenaga luar biasa sejak awal konsert bermula.

Konsert anjuran Semangat Zaman Music & Entertainment itu bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya sarat dengan mesej pemerkasaan diri. 

Penyanyi berusia 28 tahun itu dilihat sering menyelitkan kata-kata semangat yang menyentuh sanubari pengunjung di setiap sela persembahan.

“Sini ada tak yang merasakan tidak baik-baik sahaja? Ada yang tersenyum tapi hati menangis.

“Saya mahu minta waktu kalian sedikit untuk peluk diri masing-masing. 

“Cakap terima kasih kepada diri sendiri kerana bertahan sehingga hari ini dan tolong beritahu kawan kamu bahawa mereka juga hebat,” katanya. 

Ghea turut melarutkan emosi penonton dengan beberapa lagu seperti Terima Kasih Sudah Bertahan, Masa Mudaku Habis dan Berdamai. 

Sebuah video khas yang ditayangkan ketika sesi pertukaran pakaian turut mencuri perhatian apabila Ghea mendedahkan ranjau sepanjang penglibatannya sebagai anak seni.

“Saya memerlukan lima tahun dan 10 lagu untuk akhirnya orang mendengarkan karya saya. 

“Sebuah perjalanan yang cukup panjang dan berat. Hampir buat saya berhenti dan menyerah tapi saya tidak, saya bertahan. 

“Kalau ada antara kamu malam ini sedang tak baik-baik sahaja, bertahanlah lagi,” ujarnya dalam video tersebut. 

Boleh dikatakan Ghea seorang penyanyi muda yang bijak mengawal pentas dan berinteraksi dengan penonton yang hadir. 

Seorang jejaka yang dipercayai peminat dijemput naik ke atas pentas untuk menari bersamanya sepanjang menyanyikan lagu Tadi Malam. 

Suasana kembali rancak dengan dendangan lagu Oh Tuhan!, 1000X dan Kamu Anggap Apa. 

Malah, Ghea menggayakan kostum badut sambil menyampaikan lagu Kamu Anggap Apa sebagai simbolik kepada makna karya tersebut yang berkisarkan tentang cinta bertepuk sebelah tangan.

Lebih indah, wanita asal Singkawang, Kalimantan Barat itu memilih untuk mempersembahkan karya terbaharunya berjudul Daun-Daun buat pertama kali sebelum menyanyikan beberapa lagu lain seperti Melangitkanmu, Setengah Mati, Teramini dan Jiwa Yang Bersedih. 

Menutup konsert solo di Malaysia, Ghea menyampaikan lagu Manusia Paling Bahagia sebagai kenangan manis buat peminat. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN