TEHRAN – Kerajaan Iran memfailkan saman terhadap Amerika Syarikat (AS) di Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA) di The Hague berhubung tindakan ketenteraan Washington ke atas kemudahan nuklear Iran, lapor agensi berita Xinhua.
Antara perkara lain juga termasuk pelaksanaan sekatan ekonomi serta ancaman tindakan ketenteraan terhadap negara itu.
Saman yang difailkan di PCA pada Februari lalu itu merujuk kepada pelanggaran Perjanjian Algiers 1981 serta pelanggaran komitmen antarabangsa oleh AS semasa perang selama 12 hari ke atas Iran pada Jun 2025.
Saluran berita rasmi badan kehakiman Iran, Mizan, melaporkan bahawa Tehran menuntut mahkamah mensabitkan AS atas campur tangan dalam urusan dalaman negara itu.
Pada masa sama, ia mengarahkan kerajaan AS untuk menghentikan segera campur tangan secara langsung dan tidak langsung.
Iran juga menuntut AS agar memberi jaminan bahawa tindakan sedemikian tidak akan berulang serta membayar pampasan penuh terhadap kerosakan yang dialami oleh Iran, menurut laporan itu.
Iran menandatangani Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada Julai 2015 yang mengenakan sekatan ke atas program nuklearnya sebagai pertukaran untuk pelonggaran sekatan.
AS menarik diri daripada perjanjian itu pada 2018 dan mengembalikan semula sekatan, yang mendorong Iran mengurangkan komitmen nuklearnya.
Rundingan bagi menghidupkan semula JCPOA bermula pada April 2021 di Vienna, namun tiada kemajuan ketara dicapai sejak pusingan terakhir rundingan berakhir pada Ogos 2022.
Semasa konflik 12 hari antara Iran dan Israel, AS dilaporkan mengebom tiga kemudahan nuklear Iran iaitu Fordow, Natanz, dan Isfahan. – KOSMO! ONLINE














