PADANG BESAR – Seorang lelaki warga emas dipercayai tersilap menekan pedal minyak sehingga menyebabkan kereta yang dipandu merempuh sebuah pasar raya di Kampung Darat, Beseri di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 10.20 pagi itu dipercayai berlaku ketika lelaki terbabit yang memandu kereta jenis Volkswagen Polo mahu membuat pusingan U.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu hilang kawalan sebelum tersilap menekan pedal minyak.
“Kereta itu kemudian melanggar kereta Perodua Kancil sebelum merempuh premis perniagaan. Ekoran kejadian itu, premis tersebut mengalami kerosakan struktur di bahagian hadapan,” katanya hari ini.
Menurutnya, Volkswagen Polo itu remuk di bahagian hadapan, manakala kereta Perodua Kancil pula rosak di belakang. Tiada kecederaan serius dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan. – KOSMO! ONLINE














