fbpx
Albert Tei ketika sidang akhbar di hadapan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Azam Baki didakwa ugut, halang dedah skandal rasuah Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Ahli perniagaan, Albert Tei mendakwa bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pernah mengugut, menghalang dan menganiayanya ketika beliau cuba mendedahkan dakwaan skandal rasuah membabitkan beberapa ahli politik berprofil tinggi di Sabah.

Albert mendakwa, kejadian itu berlaku pada November 2024 ketika beliau mahu membuat aduan rasmi kepada SPRM berhubung dakwaan skandal berkenaan.

Menurutnya, ketika itu beliau tidak berani membuat laporan polis kerana bimbang terhadap tindakan balas memandangkan Azam masih memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan mempunyai pengaruh besar.

“Saya mengesahkan individu yang mengugut, menghalang dan menganiaya saya ketika mahu mendedahkan skandal rasuah di Sabah ialah Tan Sri Azam Baki.

“Saya bukan bercakap kosong kerana saya mempunyai bukti termasuk rekod komunikasi dan senarai saksi yang mengetahui perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Albert mendakwa, Azam pernah menghubungi peguamnya dan memberi amaran bahawa beliau akan menjadi individu pertama yang ditangkap sekiranya meneruskan pendedahan tersebut.

Menurutnya, Azam juga didakwa menasihatkan beliau supaya bercuti ke luar negara selama dua minggu dan memaklumkan kepada media bahawa isu tersebut hanya satu salah faham.

Selain itu, Albert mendakwa pada Januari tahun lalu, beberapa ahli politik Sabah menawarkan penyelesaian dengan memulangkan semula wang yang didakwa terlibat.

Katanya lagi, dalam pertemuan peguamnya dengan Azam Baki, dikatakan meminta surat jaminan bahawa beliau tidak akan lagi membangkitkan isu tersebut sekiranya wang tersebut dipulangkan.

Beliau turut mendakwa Azam mencadangkan agar SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak pendakwaan sebelum kes berkenaan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Azam Baki minta satu surat jaminan daripada peguam saya bahawa saya tidak akan bangkit lagi isu ini.

“Beliau menasihatkan supaya jangan keluar sebarang kenyataan. SPRM akan keluarkan kenyataan bahawa kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak pendakwa raya dan pendakwa raya akan NFA-kan kes ini.

“Lepas itu, jangan saya keluar sebarang kenyataan rasmi. Biar peguam keluarkan kenyataan bahawa kita akur dengan keputusan Peguam Negara supaya kes ini dapat ditamatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Albert telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pagi tadi dan akan menyerahkan semua dokumen sokongan termasuk bukti komunikasi serta senarai saksi kepada SPRM.

Beliau juga menggesa Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu mengambil tindakan segera termasuk memanggil Azam untuk disiasat.

“Saya menaruh harapan yang tinggi kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu kerana saya difahamkan beliau seorang yang tegas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN