PETALING JAYA – Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Keadilan (BiPPA) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh memberikan penjelasan segera berhubung kenyataan beliau yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.
Pengerusinya, Amidi Abdul Manan menyifatkan kenyataan Nik Muhammad yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib mempunyai sejarah hidup yang keji sebelum memeluk Islam, sebagai tidak wajar selain boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Puteh itu dilaporkan turut mengeluarkan kenyataan mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang ‘bapa ceti’ yang gemar memeras orang miskin semasa zaman Jahiliyah, manakala Sayidina Umar pula digambarkannya sebagai lelaki zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.
“Tohmahan yang sehingga ini, kita menanti penjelasan setelah lebih 24 jam ia berlegar dalam domain komunikasi awam di Malaysia.
“BiPPA menasihatkan agar saudara Nik Zawawi mencontohi akhlak Rasulullah SAW yang tidak menyebut-nyebut perilaku yang menyimpang dari norma Islam yang dilakukan oleh para sahabat Baginda ketika masih jahiliyah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jasa para sahabat Rasulullah SAW terlalu besar dalam memperkukuhkan Islam, malah mereka sanggup berkorban dan menempuh penderitaan demi mempertahankan agama.
“Pengorbanan dan kesetiaan para sahabat kepada Rasulullah SAW tidak pernah disangsikan, malah menjadi tonggak kepada kekuatan Islam itu sendiri,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya mempersoalkan tindakan mengemukakan contoh yang disifatkan sebagai tidak selari dengan kemuliaan para sahabat, sedangkan al-Quran sendiri membawa mesej transformasi akhlak dan masyarakat.
“Jika tiada sebarang penjelasan maka pimpinan tertinggi PAS perlu menyatakan sikap dan pendirian terhadap isu ini.
“PAS perlu memohon maaf kepada masyarakat Islam di Malaysia kerana kenyataan saudara Nik Zawawi ini mencemarkan kemurnian Islam,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE














