PETALING JAYA – Aktres Che Puan Sarimah Ibrahim mengakui watak Eva dalam drama Bila Cinta Menjadi Dosa yang juga dilabel sebagai penyondol merupakan antara karakter mencabar dan berisiko diterimanya sepanjang bergelar pelakon.
Menurut Sarimah, 48, dia juga menaruh seluruh kepercayaan kepada pengarah drama tersebut iaitu Shuhaimi Lua untuk karakter itu.
“Ketika Shuhaimi tawarkan watak ini, dia beritahu saya kena terima sebab orang lain tidak buat macam yang saya akan lakukan.
“Ini adalah kali pertama saya kerja dengan Shuhaimi dan itu pun kira risiko sebab reputasi dan siapa diri kita, semua di tangan dia.
“Jadi, kalau salah buat pemilihan, habis. Namun, kami berdua sama-sama ambil risiko itu dan alhamdulillah berbaloi, drama pun tular serta meraih tontonan tinggi,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis tayangan episod akhir Bila Cinta Menjadi Dosa di sini, baru-baru ini.
Tambahnya, dia tidak menyangka Eva yang merupakan wanita simpanan kepada Datuk Yusuf iaitu lakonan Zamarul Hisham disayangi penonton.
“Saya sendiri tidak tahu bagaimana semua itu berlaku dan hanya menggunakan skrip sebagai panduan selain menyuntik personaliti sendiri.
“Kalau tanya siapa Eva, banyak kajian saya buat sendiri. Itu adalah kerja pelakon untuk menghidupkan watak tersebut.
“Kita nak memberi nyawa kepada seorang manusia yang melakukan kesilapan, bukan nak menghidupkan seorang penyondol. Kalau berjaya, penonton boleh kaitkan dengan kehidupan sendiri,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia tidak pernah membayangkan Eva merupakan seorang penyondol sepanjang menggalas watak tersebut.
“Sebenarnya bila saya jayakan watak Eva, tak fikir pun tentang dia adalah penyondol sebab itu hanya sebahagian dari apa yang dilakukannya dalam hidup.
“Selebihnya, Eva mempunyai kerjaya dan memiliki spa sendiri.
“Bila ramai gelar Eva penyondol, mungkin penonton hanya fokus pada kesilapan yang dia buat berbanding siapa diri dia sebenar,” ujarnya.
Selain Sarimah, Bila Cinta Menjadi Dosa yang melabuhkan tirai pada minggu lalu turut dibintangi Alya Iman, Siti Elizad, Zairi Aziz dan March Syahmie. – KOSMO! ONLINE














