MANCHESTER – Manchester City tidak mempunyai pilihan selain wajib menewaskan Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad awal pagi esok jika mahu terus mengekalkan peluang memburu kejuaraan musim ini.
Skuad kendalian Pep Guardiola kini berada lima mata di belakang pendahulu, Arsenal dan sebarang keciciran mata dilihat hampir pasti menutup peluang mereka untuk kembali merampas gelaran liga.
Bagaimanapun, City akan turun dengan keyakinan cukup tinggi selepas menewaskan Brentford 3-0 hujung minggu lalu hasil jaringan Jeremy Doku, Erling Haaland dan Omar Marmoush.
Selain itu, City juga hanya tewas sekali dalam sembilan pertemuan terakhir menentang Palace dalam semua pertandingan, sekali gus memberi kelebihan moral buat juara lapan kali berkenaan.
Namun, Palace dijangka bukan lawan mudah apabila mereka turun tanpa tekanan selepas sah kekal beraksi dalam EPL selain baru melayakkan diri ke pentas final Liga Konferens Eropah.
Pasukan bimbingan Oliver Glasner itu turut membuktikan kemampuan mereka mencipta masalah kepada City apabila berjaya menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol dalam enam daripada tujuh kunjungan terakhir ke Etihad.
Malah, Palace juga dilihat memiliki rekod agak baik di tempat lawan musim ini apabila mengumpul lebih banyak mata di gelanggang lawan berbanding aksi di laman sendiri. – AGENSI














