KUALA LUMPUR – Kapasiti kolam takungan banjir di ibu negara kini dianggarkan hanya tinggal sekitar 30 peratus daripada saiz asal susulan pembangunan melibatkan 17 lot tanah di kawasan Jinjang dan Batu sejak tahun 2015.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kira-kira 70 peratus keluasan tanah dalam kawasan badan air itu telah diserah hak milik kepada pemaju bagi tujuan pembangunan.
Katanya, keadaan tersebut menyebabkan fungsi asal kolam takungan banjir terjejas selain menyukarkan kerja penyelenggaraan dan akses jentera.
“Berdasarkan penilaian teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kapasiti badan air telah berkurang dan jentera juga sukar masuk untuk kerja penyelenggaraan.
“Kita tidak boleh terus membenarkan pembangunan di atas kolam takungan banjir kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada pembeli, tetapi turut menjejaskan Kuala Lumpur secara keseluruhan,” katanya pada sidang akhbar di Anjung Singgahsana Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, hari ini.
Menurut beliau, DBKL tidak akan meluluskan sebarang permohonan Kebenaran Merancang (KM) melibatkan kawasan kolam takungan banjir sehingga syarat teknikal yang ditetapkan JPS dipatuhi.
Tambahnya, satu pasukan petugas khas turut diwujudkan dan dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain bagi memperkukuh tindakan mitigasi banjir di ibu negara.
Dalam perkembangan sama, Hannah berkata, hujan berintensiti tinggi sebanyak 96.5 milimeter (mm) dalam tempoh sejam pada 6 Mei lalu menjadi antara punca beberapa kawasan di Kuala Lumpur dilanda banjir kilat.
Katanya, DBKL kini mengenal pasti 14 hotspot banjir dan menubuhkan dua ‘flying squad’ bagi membersihkan saliran tersumbat dengan segera ketika hujan lebat. – KOSMO! ONLINE














