JOHOR BAHRU – Beberapa insentif khas termasuk pemberian ‘laluan ekspres’ dan pengecualian audit keselamatan sedang diperincikan untuk diberikan kepada pengusaha lori yang berjaya memperoleh pensijilan Pertubuhan Standard Antarabangsa (ISO) 39001.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, antara keistimewaan yang bakal dinikmati pengusaha terlibat termasuklah penyediaan lorong khas di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) serta pengecualian daripada Audit Pemeriksaan dan Keselamatan (JISA) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menurutnya, langkah tersebut diambil memandangkan piawaian ISO 39001 adalah lebih tinggi berbanding audit JISA, sekali gus mengelakkan pertindihan proses audit terhadap syarikat yang sama.
“Saya akan berbincang dengan JPJ untuk mengecualikan syarikat yang mempunyai sijil ISO 39001 daripada audit JISA. Tidak masuk akal untuk kita buat kedua-duanya sedangkan standard ISO jauh lebih ketat. Ini juga membolehkan tenaga kerja JPJ memberi tumpuan kepada pemantauan dan audit ke atas syarikat yang masih belum patuh kepada peraturan keselamatan,” katanya selepas merasmikan Seminar Persatuan Pengusaha Pengangkutan dan Logistik Johor (JoTran) di Ponderosa Golf Country Resort, di sini hari ini.
ISO 39001 merupakan standard antarabangsa bagi sistem pengurusan keselamatan trafik jalan raya yang menyediakan kerangka kerja khusus untuk membantu organisasi mengurangkan kes kecederaan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, kemudahan lorong khas di Puspakom bagi pemegang sijil tersebut akan dimulakan di Johor sebagai projek rintis sebelum diperluaskan.
Selain itu, katanya, kementeriannya juga merancang untuk mengadakan pertembungan dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) bagi membincangkan pemberian ganjaran kepada pemandu berhemah.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kesediaan kementerian untuk mengkaji cadangan memanjangkan tempoh sah permit Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi syarikat yang terbukti mengekalkan standard keselamatan tinggi. – KOSMO! ONLINE














