fbpx
Ch'ng Sernh Lee (tiga kiri) bersama beberapa pengusaha dan pekerja kilang yang dirobohkan pihak berkuasa di Telok Gong, Pelabuhan Klang. - Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED/ KOSMO!

21 kilang diroboh, 500 pekerja hilang punca rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – “Hancur hati kami kilang dibina ranap sekelip mata,” luah sekumpulan pengusaha di Telok Gong di sini selepas 21 premis kilang dan gudang yang menjadi punca rezeki kira-kira 500 pekerja mula dirobohkan pihak berkuasa hari ini.

Pemilik syarikat logistik, Ch’ng Sernh Lee, 33, berkata, perniagaannya bertapak di kawasan tanah seluas 9.7 hektar itu pada 2008 dan kebanyakan pengusaha beroperasi mengikut Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

“Kami kemudian mengemukakan pelbagai permohonan bagi pemberian milik tanah secara sah namun kerap ditolak. Tindakan perobohan ini menyebabkan saya rugi lebih RM8 juta dan turut menjejaskan hampir 60 pekerja,” katanya ketika ditemui di lokasi itu.

Sementara itu, kakitangan sebuah kilang yang mahu dikenali sebagai Anisa, 40, berkata dia kini kehilangan mata pencarian selepas bekerja sejak sembilan tahun lalu.

“Saya bersama ratusan pekerja lain mungkin terpaksa mencari pekerjaan lain bagi meneruskan kehidupan. Sumber pendapatan kami sememangnya bergantung kepada kerja di kilang itu namun kini semuanya hilang,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Mengulas lanjut, Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, tindakan itu dilaksanakan secara berperingkat sehingga Jumaat ini melibatkan pemotongan utiliti dan perobohan struktur tidak sah.

“Tindakan ini bukan tergesa-gesa kerana pengusaha terbabit didapati beroperasi antara 15 hingga 20 tahun selepas tamat tempoh TOL. Proses libat urus telah bermula sejak Mac tahun lalu sebelum notis terakhir diserahkan pada 7 April lalu,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan kesemua pengusaha itu menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu pengurusan tanah kawasan tersebut selain mendakwa terdapat pihak tertentu membuat tawaran bagi tanah tersebut dengan anggaran nilai antara RM3 juta hingga RM5 juta seekar (0.4 hektar). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN