JAKARTA – Penduduk sebuah perkampungan di Hulu Sungai Utara, wilayah Kalimantan Selatan berdepan detik seram apabila menemui kelibat didakwa pocong di tepi jalan pada waktu malam, lapor portal berita Jejak Rekam.
Kejadian dirakam di antara Desa Loksuga dan Desa Pihaung, baru-baru ini.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @radarbanjarmsin menunjukkan susuk serba putih sedang berdiri tegak di tepi sebatang jalan yang sunyi dan gelap.
Penampakan kelibat didakwa pocong itu menyebabkan penduduk tempatan dibelenggu ketakutan dan terpaksa memandu kenderaan mereka dengan laju.
Sebilangan penunggang motosikal memilih untuk membuang pusingan-U dan menggunakan laluan alternatif.
Rakaman itu menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Kenapa tiada lampu jalan? Terlalu gelap! Kesian rakyat,” kata seorang netizen.
“Manusia lebih seram daripada hantu,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














