fbpx
PENGGUNAAN teknologi seperti dron dalam pertanian termasuk penanaman padi mampu meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh.

70% pesawah umur 65 ke atas, mana orang muda?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia kini berdepan cabaran besar dalam sektor pertanian apabila lebih 70 peratus pesawah di negara ini terdiri daripada golongan ber-usia 65 tahun ke atas, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kekurangan pelapis muda dalam industri tersebut.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, isu penuaan petani me-rupakan antara kekangan utama negara untuk bersaing dengan negara jiran selain faktor kos buruh dan pengeluaran yang tinggi serta keluasan tanah pertanian yang terhad.

Justeru kata beliau, penggunaan teknologi moden perlu diperkasakan bagi memastikan sektor pertanian lebih efisien selain mampu menarik minat golongan muda yang selama ini melihat bidang tersebut sebagai pekerjaan 3D (difficult, dange-rous, dirty) iaitu sukar, berbahaya dan kotor.

“Lebih 70 peratus petani kita sekarang berusia lebih 65 tahun. Jadi memang cabaran besar kita sekarang ialah mencari pelapis muda dalam sektor pertanian.

“Tambahan pula negara jiran, seperti Thailand kos buruh murah sebab itu harga sayur mereka juga murah.

“Disebabkan itu kita perlu gunakan teknologi moden seperti dron, sistem fertigasi dan automasi supaya kerja pertanian jadi lebih mudah, tidak terlalu menggunakan tenaga fizikal dan lebih menarik kepada golongan muda,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Mohamad Zabawi, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Mardi kini terus memberi fokus kepada ­pemodenan sektor pertanian termasuk melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menjurus kepada penggunaan teknologi moden dalam industri tersebut.

Mohamad Zabawi berkata, penggunaan teknologi seperti dron yang menarik minat golongan muda turut mengubah kaedah tradisional pertanian yang selama ini memerlukan tenaga kerja berat.

“Kalau dulu petani kena berjalan dalam sawah untuk membajak atau dukung penyembur racun, sekarang banyak kerja boleh dibuat menggunakan dron dan mesin moden.

“Itu antara perkara yang boleh menarik minat anak muda sebab mereka tahu kerja pertanian sekarang tidak lagi terlalu susah dan kotor,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Zabawi berkata, sehingga kini lebih 60 peratus petani tempatan khususnya golongan muda semakin terbuka mengaplikasikan teknologi moden dalam sektor pertanian termasuklah melibatkan sistem fertigasi, pengairan automatik dan dron.

Beliau menjelaskan, sektor pertanian negara kini sedang bergerak ke arah pemodenan secara lebih menyeluruh terutama bagi meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh manual.

“Penggunaan teknologi dalam kalangan petani telah pun ­diterapkan untuk tanaman sayur seperti cili dan tomato misalnya, kebanyakannya sudah menggunakan sistem fertigasi dan pelbagai sistem moden lain.

“Malah, tanaman buah-buahan dan tanaman perennial ­(ta­naman yang membuahkan hasil sepanjang tahun) juga sudah mempunyai sistem pengairan moden dan tidak lagi terlalu bergantung kepada kaedah tradisional,” katanya.

Menurutnya, teknologi moden dapat membantu mengatasi isu kekurangan tanah pertanian selain mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh.

“Kita memiliki kilang tanaman dan sistem fertigasi yang tidak memerlukan tanah luas atau tanah subur sepenuhnya. Malah atas batu pun boleh buat fertigasi.

“Apabila sistem sudah dibangunkan, kita boleh kurangkan penggunaan buruh selain memastikan tanaman lebih ­berkualiti dan hasil pengeluaran lebih tinggi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN