GEORGE TOWN – Polis menafikan wujud unsur ‘double standard’ dalam tindakan penguatkuasaan terhadap dua kes kemalangan maut membabitkan pemandu warga emas yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, setiap tindakan yang diambil adalah berdasarkan pertimbangan kes demi kes termasuk faktor kesihatan, usia serta keperluan rawatan suspek.
“Kita tengok kes demi kes. Macam isu pemandu kereta tu, umur dia pun dah 72 dan ada macam-macam penyakit.
Kalaulah kita reman dia, masuk dalam lokap kita, bagaimana dia nak dapat rawatan dialisis dan sebagainya? Sebab itu kita bagi (dia) jaminan.
“Katakanlah, pemandu tadi, kita masukkan dalam lokap, jadi isu lain pula. (Nanti dipersoalkan), kenapa polis tak pertimbangkan (tahap kesihatan)? Dia ini dah tua, dah sakit, lainlah kalau dia ada bunuh orang.
“Berbeza dengan lagi satu kes pemandu van berusia 60 tahun yang langgar budak, individu terbabit direman. Dia masih sihat, sebab itu kita reman. Justeru, kita kena gunakan pertimbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian suslan timbulnya pertikaian di media sosial berhubung tindakan yang diambil polis bagi dua kes kemalangan maut melibatkan seorang pemandu van yang didakwa memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian murid Tahun Dua dan juga pemandu Proton X70 yang merempuh penunggang motosikal hingga maut, tetapi dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.
Terdahulu, beliau merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah Bersama Komuniti & Majlis Peluncuran Taman Angkat Amanita Kontinjen Pulau Pinang di Padang Kawad Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE














