PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggantung keahlian tiga Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana didakwa melanggar perlembagaan parti serta kod etika dan tatakelakuan ahli.
Mereka yang digantung ialah Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail, Ahli Parlimen Rompin, Datuk Khalib Abdullah, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khir Mohd Nor serta ADUN Cenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Zain.
Dalam masa sama, ADUN Suka Menanti, Datuk Zawahir Shaari dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis. Kedua-duanya adalah ADUN di Kedah dilaporkan dipecat daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Berdasarkan notis yang dikeluarkan hari ini, Lembaga Disiplin Bersatu memutuskan Datuk Seri Ikmal Hisham digantung hak keahlian selama dua penggal pilihan raya mengikut Fasal 22.5 Perlembagaan parti.
Surat bertarikh 8 Mei 2026 yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan itu memaklumkan tindakan berkenaan diambil kerana beliau didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
“Dengan penggantungan tersebut, beliau secara langsung dilucutkan segala jawatan yang dipegang dan tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tamat tempoh penggantungan,” menurut notis tersebut.
Notis itu turut memaklumkan bahawa rayuan boleh dikemukakan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.
Setakat ini, kepimpinan tertinggi Bersatu masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindakan terhadap kesemua wakil rakyat terbabit. – KOSMO! ONLINE.














