fbpx
Gambar hiasan.

KTMB sedia 186 tren tambahan sempena Aidiladha, cuti sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan sebanyak 186 tren tambahan melibatkan perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan EMUPlus bagi memenuhi permintaan tinggi pengguna sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan musim cuti persekolahan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, inisiatif itu melibatkan penyediaan kapasiti keseluruhan sebanyak 58,380 tempat duduk tambahan bagi tempoh perjalanan antara 22 Mei hingga 7 Jun ini.

“Penyediaan tren tambahan ini adalah usaha untuk menampung peningkatan permintaan penumpang sepanjang tempoh sambutan perayaan dan cuti sekolah. Orang ramai boleh mendapatkan tiket bagi perkhidmatan tren tambahan ini bermula Sabtu ini bermula pukul 12 tengah hari,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, tren tambahan itu melibatkan laluan KL Sentral ke Padang Besar, Butterworth, Ipoh, JB Sentral, serta laluan EMUPlus antara Klang dan Ipoh.

Tambahnya, inisiatif kerajaan menerusi kempen ‘Road to Rail’ ini menunjukkan impak yang memberangsangkan dalam menggalakkan rakyat beralih kepada penggunaan pengangkutan awam yang lebih selamat, selesa, dan efisien.

“Peningkatan permintaan ini mencerminkan keyakinan penumpang yang semakin tinggi terhadap mutu perkhidmatan rel negara,” jelas beliau.

Dalam pada itu, katanya, KTMB turut menawarkan diskaun tiket tren khas Ekspres Lambaian Aidiladha (ELA) 1029 bagi laluan perjalana dari Tumpat ke KL Sentral sebanyak 30 peratus.

Katanya, tawaran harga tiket serendah RM56 itu untuk bagi kategori Superior Seater yang menawarkan 274 tempat duduk.

Jelasnya, pembelian boleh dibuat melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB, atau kiosk tiket KTMB di stesen-stesen terpilih. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN