fbpx
Dua beradik dipercayai dihalau dari rumah saudara mereka telah diselamatkan oleh pihak Rumah Perlindungan Kanak-kanak TBQ Amal. Foto Facebook Herman Sudil

‘Baru balik sekolah…baju dicampak luar rumah, kena halau’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dua beradik lelaki berdepan ujian berat apabila didakwa dihalau oleh saudara sendiri apabila pakaian mereka dicampak di luar rumah, sebaik mereka pulang dari sekolah.

Kedua-dua remaja tersebut sebelum ini dikatakan tinggal di rumah saudara untuk menjalani kehidupan baharu selepas bapa kandung mengabaikan mereka, namun ujian lain pula menimpa.

Kisah sedih itu dikongsikan Pengasas Rumah Perlindungan Kanak-kanak TBQ Amal, Herman Sudil yang kemudian mengambil dua beradik tersebut menghuni pusat kebajikan itu di Johor Bahru.
“Baju kena campak luar rumah, baru balik sekolah dah kena halau. Dua beradik ini pernah dimasukkan ke hospital tahun lepas hampir dua minggu bukan sebab kemalangan, tapi kerana dipukul oleh ayah sendiri.

“Hidup mereka tak pernah stabil, ibu bercerai, kemudian ibu meninggal dunia. Mereka berpindah dari satu tempat ke satu tempat, dari satu penjaga ke penjaga yang lain sehingga akhirnya mereka kembali kepada ayah kandung.

“Tapi di situ mereka bukan dijaga, mereka dipaksa bekerja. Jika tak ikut, mereka dipukul. Bukan sekali, sehingga satu tahap dua beradik ini dimasukkan ke hospital selama hampir dua minggu, sebab cedera teruk,” katanya pada hantaran Facebook baru-baru ini.

Herman berkata, dua remaja tersebut dipukul bukan kerana nakal, tetapi hanya mahu ke sekolah, manakala bapa mereka tidak membenarkannya.

“Bapa kandung sendiri tak benarkan, nak mereka kerja. Badan mereka penuh kesan lebam, tapi yang lebih dalam luka di hati mereka. Pihak berkuasa akhirnya campur tangan.

“Mereka dibawa keluar dari keadaan itu dan dihantar ke Rumah Perlindungan Kanak-kanak TBQ Amal. Pihak berkuasa jumpa waris, saudara yang nak jaga mereka. Disangka hidup akan jadi lebih baik. Mereka dihantar kepada saudara di sebuah negeri untuk memulakan hidup baharu,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun lain pula jadinya apabila dua beradik itu kemudian dihalau dari rumah selepas pulang dari sekolah dan dalam keadaan keluar tanpa arah, mereka menghubungi pihaknya.

“Mereka hubungi TBQ Amal dan dengan suara perlahan, mereka minta untuk balik ke Johor. Bukan sebab mereka kenal ramai orang di sini. Tapi kerana bagi mereka, TBQ adalah rumah paling selamat.

“Kami belikan tiket bas dan minta mereka naik sendiri dan alhamdulillah tadi pagi pukul 3 pagi, mereka selamat sampai di Terminal Larkin dan warden kami jemput mereka. Dua beradik ini hanya berjalan dengan seluruh hidup mereka di dalam beg dan satu harapan kecil dalam hati, ‘kami cuma nak tempat yang selamat’,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN