LONDON – Pengendali Crystal Palace, Oliver Glasner menyifatkan kemenangan agregat 5-2 ke atas Shakhtar Donetsk sebagai detik yang luar biasa selepas pasukannya mara ke final Liga Konferens Europa pada musim ini.
Pada aksi separuh akhir kedua di Selhurst Park, The Eagles menepati ramalan apabila menewaskan Shakhtar 2-1 sekali gus mengesahkan tiket ke final untuk menentang kelab La Liga, Rayo Vallecano pada 28 Mei depan.
Kata Glasner, kemenangan yang diraih pasukan menjadi ganjaran terbaik buat kerja keras keseluruhan pasukan sepanjang kempen musim ini.
“Apa yang berlaku sangat luar biasa kerana suasana di Selhurst Park benar-benar hebat. Komitmen, disiplin serta usaha pemain sangat menakjubkan dan saya sentiasa percaya kami akan mencipta peluang dan menjaringkan gol.
“Gol kedua yang dijaringkan Ismaila Sarr meringankan tekanan di bahu pasukan dan pujian wajar diberikan kepada semua pemain yang bekerja keras sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya.
Sementara itu, pertahanan Palace, Tyrick Mitchell turut memuji kekuatan benteng pertahanan pasukan yang dianggap menjadi kunci utama kejayaan.
“Kami tahu kekuatan kami di bahagian pertahanan. Kami bertahan dengan baik sebagai satu pasukan dan memiliki pertahanan individu yang berkualiti,” katanya. – AGENSI














